Tak perlu bimbang kelonggaran enam bulan majikan - FMM

Pekerja asing: Tak perlu bimbang kelonggaran enam bulan majikan – FMM

SOH THIAN LAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak perlu ada kebimbangan terhadap pengabaian atau kompromi kepada keselamatan, kesihatan dan kebajikan keseluruhan pekerja asing susulan kelonggaran yang diberi kepada pihak majikan.

Ia berhubung tempoh enam bulan yang diberi selepas membawa masuk pekerja asing untuk mematuhi prasyarat di bawah pelan penggajian pekerja asing yang baharu dinamakan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.

Presiden Persatuan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Datuk Soh Thian Lai berkata, pihaknya percaya apabila pekerja daripada negara sumber bersedia (ke Malaysia), yang boleh memakan masa lebih tiga bulan, majikan telah mempunyai mekanisme pematuhan standard buruh yang diperlukan.

“Jadi, tidak perlu ada kebimbangan terhadap sebarang pengabaian atau kompromi terhadap keselamatan, kesihatan dan kebajikan keseluruhan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, majikan yang membawa masuk pekerja asing di bawah pelan penggajian dan kuota baharu diberi tempoh enam bulan untuk mematuhi prasyarat tersebut.

Prasyarat itu termasuk pematuhan kepada undang-undang buruh, melayakkan pekerja asing mengambil kuota di bawah Kementerian Sumber Manusia dan membayar gaji minimum.

Beliau juga berkata, penguatkuasaan bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi berkaitan akan dilaksanakan selepas tempoh enam bulan tamat.

Bagaimanapun, Pengarah Inisiatif North-South, Adrian Pereira menyuarakan kebimbangan bahawa tempoh enam bulan yang diberikan akan membuka lagi risiko eksploitasi terhadap pekerja asing.

Adrian membangkitkan rekod buruk Malaysia dalam melindungi hak pekerja asing, termasuk bukti dokumen berkenaan kes pemerdagangan manusia dan buruh paksa.

Dalam pada itu, Thian Lai berkata, pihak industri sudah maklum berhubung gaji minimum, standard tempat tinggal dan kemudahan, pindaan Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa 1 Januari 2023 serta petunjuk-petunjuk berkaitan pengamalan buruh paksa.

Jelasnya, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia juga meningkatkan tahap penguatkuasaan serta pemeriksaan terhadap cara majikan menguruskan pekerja asing mereka.

Hal ini menyaksikan majikan akan dikenakan tindakan yang perlu di bawah undang-undang jika gagal mematuhi kawalan selia yang ditetapkan.

“Maklum balas pantas Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen terhadap gesaan lanjutan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin 2.0 yang akan bermula dari 27 Januari 2023 adalah langkah positif ke arah mengurangkan pekerja tanpa izin di negara ini dan ia adalah pilihan lebih cepat mendapatkan pekerja asing.

“Sementara anggota FFM digalakkan mengambil peluang tempoh kelonggaran serta pelan rekalibrasi berdasarkan keperluan dan kemampuan, mereka juga diingatkan untuk mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya