Syamsul mengaku sudah nikah dengan Ira - Utusan Malaysia

Syamsul mengaku sudah nikah dengan Ira

KUALA LUMPUR: Pengarah, Syamsul Yusof akhirnya menamatkan segala spekulasi apabila membuat pengakuan sudah bernikah dengan Ira Kazar, hari ini.

Pengakuan itu dibuat Syamsul menerusi satu video yang dimuat naik menerusi Instagramnya, sebentar tadi.

“Alhamdulillah, saya telah bernikah secara sah dengan Ira, berwalikan bapanya, Kazar Saisi di Thailand.

“Pernikahan kami telah didaftarkan dan ia dilakukan di sini untuk memudahkan beberapa perkara.

“Pada akhirnya, saya kena letakkan noktah tentang hal rumah tangga yang tidak sepatutnya saya kongsikan di media sosial,” katanya.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan isterinya, Puteri Sarah Liyana berlarutan selepas wanita itu mendedahkan tentang kehadiran orang ketiga yang menganggu rumah tangga mereka.

Syamsul dan Ira bagaimanapun, sebelum ini mengunci mulut tentang hubungan mereka dan sering mengelak apabila disoal berkenaan perkara itu.

Dalam perkongsian sama, pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu merayu kepada Puteri Sarah agar menghentikan tindakannya membuka cerita rumah tangga mereka kepada umum.

“Puteri Sarah masih isteri saya. Saya harap dia pulang ke rumah dan bawa anak-anak untuk selesaikan isu rumah tangga kami. Fikirkanlah, saya masih suami awak.

“Saya mahu ketenangan dan ambil jalan berbincang. Sampai bila kita mahu aib mengaibkan satu sama lain. Sudah-sudahlah,” ujarnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN