Fotografi dan seni persembahan pentas

Fotografi dan seni persembahan pentas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia seni yang tidak henti berubah, fotografi persembahan pentas khususnya konsert kini menempati ruang yang unik. Ia bukan sahaja menjadi dokumentasi visual, tetapi juga satu bentuk naratif emosi yang energetik.

Di celah cahaya yang menyilau, kesan asap dan gerakan tubuh yang bertenaga, jurufoto bukan sekadar ‘menangkap gambar’, tetapi sebenarnya membingkai detik-detik sejarah budaya yang selalunya hanya berlangsung sekelip mata.

Melalui pengalaman merakam momen bertenaga ini, pengemar seni muzik dan persembahan pentas berpeluang menyaksikan betapa seni fotografi memainkan peranan penting dalam mentafsirkan semangat zaman.

Menurut jurufoto sambilan yang aktif merakam pelbagai acara seni dan persembahan, Muhammad Al Amin Azman, fotografi persembahan adalah seni menangkap tenaga yang tidak statik.

Ia bukan tentang kejelasan teknikal semata-mata, tetapi getaran rasa yang tercetus daripada pentas ke lensa.

Beliau menjelaskan tugas jurufoto di acara pentas bukan mudah.

Selain berdepan dengan pencahayaan tidak konsisten, pergerakan tidak menentu, serta suasana emosi yang berubah-ubah dalam beberapa saat, kepantasan dan kebijaksanaan menentukan nilai artistik sangat penting. Justeru chaos di atas pentas perlu menjadi sebuah naratif visual yang tersusun.

Fotografi persembahan, pada asasnya, adalah satu bentuk kolaborasi antara jurufoto dan seniman di pentas.

Kedua-duanya terhubung melalui satu irama sama iaitu keinginan untuk menyampaikan sesuatu kepada khalayak.

Melalui gambar-gambar ini, kita tidak hanya melihat siapa yang berdiri atas pentas, tetapi turut merasai apa yang mereka rasa. Ini menjadikan fotografi bukan sekadar alat rakaman, tetapi agen budaya yang mampu menyimpan emosi dan identiti zaman.

Dengan kemunculan lebih ramai jurufoto muda seperti Muhammad Al Amin Azman, yang merakam bukan sekadar konsert tetapi juga denyut seni masyarakat, kita semakin dekat untuk membentuk satu arkib visual Malaysia yang benar-benar hidup.

Dalam dunia yang terlalu laju dan penuh ragam visual, gambar-gambar seperti ini memberi ruang untuk kita berhenti, merenung dan merasai tanpa suara, hanya melalui ’cahaya’ yang diabadikan.

-Mohd. Radzuan Mohd. Rafee, Pensyarah kanan Jabatan Fotografi dan Pengimejan Kreatif Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN