Sistem kewangan Islam 'indah khabar daripada rupa'

Sistem kewangan Islam ‘indah khabar daripada rupa’

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Produk sistem kewangan Islam di negara ini disifatkan indah khabar daripada rupa apabila terus ‘memeras ugut’ peminjam dengan mengenakan kaedah faedah terlalu tinggi dan tidak munasabah sehingga menjurus kepada amalan riba.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, pihaknya menerima banyak rungutan orang ramai mendakwa wujud kaedah pembiayaan berselindung dengan istilah Arab telah memerangkap hingga menyebabkan mereka menanggung kerugian sepanjang pinjaman.

Beliau mengambil contoh konsep akad yang memaksa para peminjam membayar kadar faedah tidak munasabah walaupun ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

“Misalnya seorang pembeli rumah membuat pinjaman selama 30 tahun tetapi mahu menyelesaikan baki pembiayaan 10 tahun. Memandangkan telah membuat akad dengan pihak bank, beliau hanya memperoleh ibrar atau rebat lebih rendah berbanding pembiayaan secara konvensional.

“Mengapa tidak beri rebat lebih tinggi kepada peminjam yang mahu melunaskan pinjaman lebih awal? Perkara ini berpunca sistem akad itu sendiri yang menjerat mereka sehingga terpaksa akur dengan kontrak pembiayaan,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kaedah pembiayaan kewangan Islam di negara ini yang dikatakan tidak terdedah risiko kenaikan kadar hutang didakwa belum mematuhi konsep Maqasid Syariah sepenuhnya kerana tertakluk kepada peraturan tertentu berpaksikan faedah dan riba.

Hal ini kerana sistem itu masih tertakluk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan peraturan antarabangsa seperti Basel III yang tidak menepati kehendak Syarak.

Dalam pada itu, Rosland berkata, kaedah pembiayaan konvensional dilihat tidak menjerat peminjam apabila mampu memberi kaedah rebat atau diskaun lebih tinggi terhadap penyelesaian pinjaman awal berbanding sistem kewangan Islam.

“Apa istimewa sistem kewangan Islam walaupun menawarkan produk di sebalik nama tertentu, tetapi akhirnya butiran tawaran tidak didedahkan kepada peminjam sehingga mengakibatkan mereka menanggung faedah dan riba sepanjang hayat.

“Di mana konsep Mudharabah iaitu merujuk transaksi pembelian dan penjualan di mana harga kos aset dan margin keuntungan telah diketahui oleh pembeli dan dipersetujui oleh pihak yang berkontrak. Tetapi ketika akad dibuat, butiran tidak didedahkan kepada peminjam,” jelasnya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan bukan sahaja perlu mengkaji sistem kewangan Islam tetapi menghapuskannya dan hanya menggunakan sistem konvensional yang dilihat tidak memeras ugut peminjam tetapi masih mengenakan kaedah faedah yang munasabah hingga boleh menjurus kepada hukum riba. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN