Sindiket curi kabel tumpas, sub kontraktor antara ditahan polis - Utusan Malaysia

Sindiket curi kabel tumpas, sub kontraktor antara ditahan polis

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain menunjukkan kabel Telekom Malaysia yang dirampas daripada satu sindiket mencuri kabel dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang sub kontraktor Telekom Malaysia (TM Malaysia) serta 13 pekerjanya kerana terlibat dengan sindiket curi kabel milik syarikat tersebut di Pulau Pinang dan Kedah.

Selain itu, lima lagi suspek termasuk seorang wanita yang merupakan pembeli kabel curi itu turut ditahan di sekitar Sungai Petani, Kedah menjadikan kesemua suspek yang ditahan kerana terlibat dengan sindiket itu seramai 19 orang.

Difahamkan, setiap satu kilogram tembaga di dalam kabel berkenaan dijual di pasaran pada harga RM30 dan anggaran kerugian yang dialami syarikat berkenaan akibat kes kecurian kabel yang didalangi sindiket itu ialah kira-kira RM910,448.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, 11 daripada suspek termasuk sub kontraktor itu ditahan pada 10 Januari lalu, kira-kira pukul 2.40 pagi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tanjung Bungah Park kerana disyaki melakukan kegiatan curi kabel.

”Beberapa hari sebelum itu, pihak syarikat menerima aduan mengenai gangguan bekalan internet di kawasan berkenaan.

”Semasa tangkapan dibuat, kesemua suspek sedang memotong dan mengeluarkan kabel bawah tanah dan mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah ketika itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, modus operandi kumpulan itu adalah mencuri kabel bawah tanah melalui ‘man hole’ dengan menyamar sedang membuat tugas selenggara kabel TM untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Kesemua individu yang ditahan berusia 27 hingga 47 tahun dan berasal dari Kedah.

”Kabel-kabel yang dicuri ini akan dibawa ke tapak pelupusan di Sungai Petani dan Kuala Ketil, Kedah menggunakan lori,” katanya.

Tambah beliau, ujian air kencing yang dijalankan mendapati tujuh daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod jenayah mendapati 14 individu mempunyai antara dua hingga 12 rekod jenayah lampau.

Tambahnya, dengan penangkapan suspek-suspek itu, polis percaya berjaya menyelesaikan 27 kes curi kabel yang mana 17 kes di Pulau Pinang manakala 10 kes lagi di Kedah.

Dalam pada itu, katanya, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya sebuah motolori, tiga buah kereta, 65 batang kabel bertulis Telekom Malaysia, pemotong paip, pemotong besi dan sebagainya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya