Sharnaaz mengaku tidak bersalah cederakan lelaki - Utusan Malaysia

Sharnaaz mengaku tidak bersalah cederakan lelaki

SHARNAAZ Ahmad ketika hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. - UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon filem Juvana, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan orang di sebuah kondominium di Jalan Dutamas, Jun tahun lalu.

Sharnaaz Ahmad, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Mengikut kertas pertuduhan, sekitar pukul 8.30 malam, semasa berada di kawasan lif, pintu masuk Blok C di Kondominium Changkat View, Jalan Dutamas, OKS dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 26 tahun.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam bela, Datuk Abu Bakar Isa Ramat membuat rayuan supaya kos ikat jamin direndahkan kerana Sharnaaz Ahmad telah membuktikan dirinya masih menghadirkan diri ke mahkamah walaupun kejadian berlaku enam bulan lalu.

“Saya mohon kepada mahkamah yang mulia ini untuk memberi jamin yang rendah kerana anak guam saya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana dia juga sedar dirinya adalah seorang pelakon yang dikenali.

“OKS juga telah ditangkap selepas kejadian itu dan beri kerjasama yang baik sepanjang siasatan. Dia juga sedang menjalankan penggambaran sebuah filem arahan Syamsul Yusof serta merupakan duda anak satu dan turut menjaga anak lelakinya, berusia lima tahun,” katanya,” katanya dihadapan majistret.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Atiqah membenarkan Sharnaaz diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pertengahan tahun lalu, media melaporkan, pelakon berusia 38 tahun itu direman tiga hari, selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang penghuni kondominium.

Selepas ditahan, Sharnaaz berkata, kejadian berlaku apabila rakan kepada penghuni kondominium itu membawa minyak masak namun tidak mempunyai kad akses.

Dalam kes berbeza pada September 2017, Sharnaaz Ahmad telah didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menyebabkan kecederaan dengan cara menumbuk seorang pekerja kelab golf warga Bangladesh.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap Gous Ali di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) di Taman Tun Dr Ismail, Brickfields, pada jam 5.30 petang, 22 Julai 2017 dan didakwa atas seksyen sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya