Saya tak terkejut - KJ

Saya tak terkejut – KJ

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin tidak terkejut jika beliau digantung mahupun dipecat UMNO meskipun prosesnya tidak melalui Lembaga Disiplin.

Khairy ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, ini kerana terdapat beberapa pe­mimpin lain sebelum ini juga tidak diberi ruang untuk mempertahankan diri dan akhirnya digantung terus oleh parti menerusi keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Bagaimanapun Khairy memaklumkan setakat ini beliau tidak mendapat sebarang surat mahupun panggilan daripada Lembaga Disiplin untuk memberi keterangan atau alasan daripada pihak berkenaan mengapa beliau perlu dipecat mahupun digantung.

“Saya belum terima apa-apa surat daripada Lembaga Disip­lin. Belum ada apa-apa pun dan tiada percubaan dari mana-mana pihak untuk meng­hubungi saya.

“Kalau soal disiplin ini, prosesnya haruslah melalui Lembaga Disiplin, tetapi di bawah MT sudah ada banyak keputusan yang unilateral. MT sendiri buat keputusan secara langsung tanpa merujuk kepada Lembaga Disiplin. Contohnya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, mereka terus digantung.

“Jadi saya tidak terkejut jika saya tidak dirujuk dan mereka bangkitkan isu saya serta rakan-rakan yang lain,” katanya.

Semalam, dilaporkan status keahlian Khairy akan ditentukan dalam mesyuarat petang semalam, dan dijangka akan dibawa ke mesyuarat MKT malam ini.

Ia susulan beberapa kenya­taan Khairy sebelum ini, antara beliau secara terbuka mengakui tidak menggemari segelintir pemimpin UMNO dan mahu ‘membersihkan’ parti itu, jika berjaya menawan Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau dalam masa yang sama turut menegaskan, semua pihak perlu mengakui UMNO perlu berubah untuk kembali menjadi parti yang boleh dibanggakan dan menjadi wadah politik terbesar se­perti suatu ketika dahulu.

Mengulas mengenai tindakan lanjut sekiranya digantung, Khairy berkata, beliau menunggu sehingga keputusan itu dibuat.

“Jika dibincang, saya tunggu keputusan tersebut dan kita akan fikir tindakannya sebab saya rasa sebagai ahli biasa, sebarang tindakan disiplin ahli mestilah melalui Lembaga Disiplin, maksudnya beri surat tunjuk sebab, panggil untuk beri keterangan, mesti bersidang dan hasil perbincangan dari keterangan yang diberi ahli, barulah Lembaga Disiplin buat keputusan, dibawa ke pengurusan parti dan akhirnya Majlis Tertinggi.

“Saya dulu ahli jawatankuasa Lembaga Pengurusan sewaktu dalam Pemuda selama lapan tahun,” ujarnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya