KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa daripada empat pertuduhan bersubahat dengan syarikat itu berhubung penjualan nota sekuriti dan bon bernilai AS$6.5 bilion milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir pada prosiding sebutan hari ini.
Terdahulu, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Roger Ng memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.
Bagaimanapun, Zaki Asyraf memohon tertuduh dikenakan perintah DNAA atas alasan pihak pendakwaan masih berminat untuk meneruskan pertuduhan terhadapnya pada masa akan datang.
Zaki Asyraf memberitahu, perbicaraan kes jenayah yang dihadapi Roger Ng di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York telah selesai dan proses hukuman yang sepatutnya dijalankan pada Disember tahun lalu, ditangguhkan sehingga bulan depan.
“Pihak pendakwaan masih berminat untuk meneruskan kes ini pada masa akan datang, cuma untuk mengelakkan pihak-pihak membuang masa, pendakwaan mohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan sehingga semua proses perundangan selesai,” katanya.
Mahkamah Persekutuan di Brooklyn dijangka memutuskan hukuman terhadap Roger Ng atas ketiga-tiga pertuduhan berkaitan penyelewengan berbilion dolar dana 1MDB, bulan depan.
Pada 19 Disember 2018, Roger Ng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013.
Pada 4 September 2021, pertuduhan terhadap Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia iaitu Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) digugurkan oleh Mahkamah Tinggi selepas pendakwaan menarik balik pertuduhan berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$$6.5 bilion.
Roger Ng, 48, diekstradisi ke AS pada Mei 2019 untuk berdepan pertuduhan yang dikemukakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berhubung skandal 1MDB.
Roger Ng didapati bersalah oleh juri dalam pendengaran kes di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn pada 8 April 2022 atas ketiga-tiga pertuduhan berkaitan penyelewengan berbilion dolar dana 1MDB dan berdepan tempoh pemenjaraan selama 30 tahun.
Tertuduh didakwa membantu bekas ketuanya, Tim Leissner menggelapkan wang 1MDB, mengubah wang dan merasuah pegawai berkaitan untuk mendapatkan perniagaan untuk Goldman. –UTUSAN