Projek kawalan hakisan selamatkan Pantai Tok Jembal - Utusan Malaysia

Projek kawalan hakisan selamatkan Pantai Tok Jembal

NIK Nazmi Nik Ahmad (dua, kiri) diberi penerangan mengenai Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA NERUS : Projek pengawalan hakisan pantai di Pantai Tok Jembal Fasa 2 yang melibatkan peruntukan berjumlah RM73.5 juta memberi manfaat dan pelindungan jangka panjang kepada penduduk serta nelayan di kawasan tersebut.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, projek di bawah kementeriannya melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat melindungi kemudahan dan infrastruktur awam daripada pukulan ombak dan hakisan pantai.

Menurutnya, projek yang dibina pada tahun 2010 dan siap sepenuhnya pada 24 Julai 2019  itu susulan keadaan pantai tersebut yang mengalami hakisan terutama ketika musim Monsun Timur Laut dan terdedah kepada ombak kuat dengan maksimum sehingga tiga meter pada November hingga Mac.

“Hakisan semakin kritikal pada tahun 2010 berikutan terdapat pembangunan dan penebusgunaan tanah di pesisir pantai dengan kehilangan kawasan pantai selebar 60 meter setiap tahun.

“Justeru, kementerian mengambil.langkah segera bagi mengawal dan melindungi pengunduran garis pantai daripada terus terhakis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Tok Jembal, di sini, hari ini.

Nik Nazmi memberitahu, projek tersebut juga memberi manfaat kepada kawasan berdekatan yang terjejas teruk seperti Kampung Tok Jembal, Kampung Tanjung Gelam dan Kampung Kubang Badak di sini.

“Selain itu turut memulihkan jajaran pantai sepanjang pantai sepanjang 4.4 kilometer yang terhakis, selain menghasilkan pertambahan kawasan lapang pantai dari 0 meter padu kepada 200,000 meter padu.

“Bilangan premis perniagaan dan kemudahan awam turut bertambah sebanyak 85 peratus berbanding pada tahun 2010, selain 60.9 hektar harta benda dan kemudahan awam telah dilindungi,” ujarnya.

Selain itu beliau memberitahu, projek tawaran di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan melangkaui ke Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pula meliputi pembinaan lima buah pemecah ombak.

Tambahnya, projek lain melibatkan pembinaan sebuah terminal groyne sepanjang 180 meter, dua lapis lindung sepanjang 750 meter, pembinaan dinding latihan sepanjang 50 meter dan kerja penyuburan pasir pantai serta landskap. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.