Projek CVIA berjalan lancar, tarik nilai pelaburan bernilai RM2.5 bilion - Utusan Malaysia

Projek CVIA berjalan lancar, tarik nilai pelaburan bernilai RM2.5 bilion

MOHD. Shukri Ramli (dua dari kiri) mendengar taklimat berhubung pelaksanaan Perlis Inland Port (PIP) dan beberapa projek mega lain menerusi lawatan di sekitar Chuping, Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Meskipun berbeza kepimpinan kerajaan negeri dan pusat namun pelaksanaan projek mega Chuping Valley Industrial Area (CVIA) tetap berjalan dengan lancar.

Malah, kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerajaan negeri bagi pembangunan CVIA sehingga kini telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM2.5 bilion dengan peluang pekerjaan sebanyak 1,870.

Pelaksanaan pembinaan infrastruktur projek itu juga dijangka selesai dilaksanakan pada suku pertama tahun ini.

Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, pihaknya sentiasa mendapat kerjasama baik daripada kerajaan negeri dan agensi-agensi pusat yang lain bagi membantu membawa lebih ramai pelabur untuk terlibat sama dalam projek berkenaan.

“Kita mendapat kerjasama yang sangat erat daripada kerajaan negeri melibatkan aspek kelulusan tanah, air, elektrik dan pelbagai lagi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek tersebut,” katanya selepas menerima lawatan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan delegasi kerajaan negeri yang turun padang bagi meninjau perkembangan projek tersebut di Chuping di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Haris berkata, buat masa ini, terdapat beberapa pelabur dalam bidang pembuatan telah turut sama dalam projek itu yang turut menyediakan peluang pekerjaan buat rakyat tempatan.

“Jumlah pelabur juga dijangka bertambah selepas pelaksanaan infrastruktur ini selesai malah tiada mana-mana projek yang diberhentikan dan masih bersambung sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak pemaju bagi memastikan pelaksanaan projek mega itu berjalan dengan lancar.

Katanya, kerajaan negeri juga akan berusaha membantu mempercepatkan pembangunan projek itu dengan menyegerakan sebarang kelulusan yang diperlukan oleh pihak terlibat.

“Itu adalah perkara asas yang saya rasa kerajaan negeri sepatutnya memberi komitmen dan kita akan pastikan ia berjalan lancar.

“Selebihnya kita akan lihat keperluan semasa berhubung pelaksanaan projek ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya