NCIA catat RM13.67b pelaburan di Pulau Pinang tahun lepas

NCIA catat RM13.67b pelaburan di Pulau Pinang tahun lalu

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika menghadiri majlis penghargaan bagi syarikat yang terlibat dalam program COE NTIC di pejabat Ketua Menteri, di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mencatatkan pelaburan bernilai RM13.67 bilion selain menawarkan lebih 14,000 peluang pekerjaan kepada penduduk Pulau Pinang pada tahun lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jumlah pelaburan yang memberangsangkan itu menjadi bukti keyakinan pelabur terhadap prospek jangka masa panjang yang ditawarkan di negeri ini khususnya dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) secara amnya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada NCIA kerana membantu memudah cara pelaburan, sekali gus menyokong pertumbuhan pelaburan memberangsangkan yang dicatatkan oleh Pulau Pinang pada tahun lalu.

“Kerajaan negeri juga mengalu-alukan usaha NCIA untuk meningkatkan lagi daya tarikan Pulau Pinang kepada pelabur, melangkaui sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta jentera dan peralatan (M&E), khususnya dalam pembangunan teknologi serta bakat berkemahiran,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow menghadiri majlis penghargaan bagi syarikat yang terlibat dalam program Centre of Excellence (CoE), NCER Technology Innovation Centre (NTIC) selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pulau Pinang.

Menurut Kon Yeow, program seperti NTIC bermatlamat untuk memperkukuh ekosistem perindustrian serta bakat bagi mencipta aktiviti yang inovatif dan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Ia juga meningkatkan rantaian nilai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang mana ia bakal mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah hab teknologi dan inovasi di rantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, kejayaan mencatatkan pelaburan sebanyak RM13.67 bilion adalah hasil kerjasama erat dan berterusan dengan pihak pemegang taruh merangkumi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi kerajaan negeri.

“Pelaburan dicatat merangkumi sektor tumpuan dalam Pelan Pembangunan Strategik NCER seperti pembuatan, perniagaan tani, logistik, ekonomi digital dan pelancongan.

“Pada tahun lalu juga, program pembangunan bakat berteraskan rakyat NCER juga telah memberi manfaat kepada lebih 4,955 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya yang memberitahu, sejak ia dilaksanakan pada 2019, lebih 16,100 peluang pekerjaan telah diwujudkan di Pulau Pinang.

Sementara itu, Mohamad Haris berkata, semasa majlis penyerahan sijil kepada syarikat bagi program NTIC, sebanyak lima buah syarikat iaitu GF Technology Sdn. Bhd.; Elliance Sdn. Bhd.; IME Technology Sdn. Bhd.; Visionlytics Sdn. Bhd. dan Easy Pack Machinery Sdn. Bhd. telah menerima sijil lantikan sebagai penyedia CoE NTIC.

Mohamad Haris berkata, penyedia CoE yang dilantik pada hari ini menawarkan kelainan berbanding sebelum ini iaitu mereka memberi tumpuan kepada usaha menyokong pembangunan PKS tempatan di bawah program Pengguna CoE NTIC.

“Setakat ini, terdapat lapan buah syarikat PKS di Pulau Pinang telah mendaftar untuk program Pengguna NTIC CoE dan secara keseluruhannya, sebanyak 12 Penyedia CoE NTIC dari Pulau Pinang telah dilantik sejak dilancarkan pada Mei 2023 dengan sebanyak RM73.67 juta pelaburan telah dicatatkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN