PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya terdapat empat produk makanan import dengan logo halal dari luar negara yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) didakwa mempunyai gelatin babi.
Kehadiran unsur babi itu dikesan selepas sebuah makmal ujikaji makanan swasta yang mengambil sampel 100 produk di pasaran terbuka untuk diuji kemungkinan ia mempunyai bahan yang tidak halal.
Hasilnya, 22 produk yang diambil sampel bagi ujian itu didapati mengandungi bahan daripada unsur babi dengan empat daripadanya mempunyai logo halal luar negara diperakui Jakim.
Sementara 18 lagi produk makanan itu tidak mempunyai logo halal tetapi dijual secara meluas dan menjadi kegemaran umat Islam di negara ini.
Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, sumber industri halal berkata, salah satu produk makanan digemari kanak-kanak itu disahkan mengandungi gelatin babi hasil ujian makmal yang mempunyai sijil Sistem Pengurusan Kualiti (ISO).
Keputusan ujian tetap menunjukkan kehadiran gelatin babi walaupun produk itu diperoleh dari lokasi berlainan.
Menurut beliau, ujian tersebut dikendalikan sejak tahun 2016 dan pihaknya membuat laporan segera kepada Bahagian Hab Halal Jakim lengkap dengan hasil keputusan dan produk itu sebaik sahaja dapatan ujian itu diperoleh.
“Kami membuat ujian itu bagi memastikan integriti logo halal luar negara terjamin. Bila kita membuat ujian dan hasilnya positif ada unsur babi, kita terkejut dan bimbang jika ada kaedah analisis yang kami guna pakai atau kit ujian yang digunakan mempunyai masalah.
“Bagaimanapun kami telah membuat kawalan kualiti (QC) sebelum membuat ujian sesuatu produk supaya keputusannya tidak meragukan. Namun ternyata kit ujian tidak ada masalah dan tiga kali ujian dibuat, ia secara konsisten menunjukkan hasil positif,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Langkah seterusnya yang diambil pihaknya ialah melaporkan hasil keputusan tersebut kepada Bahagian Hab Halal Jakim untuk tindakan lanjut.
Namun, selepas dirujuk, agensi berkenaan memaklumkan produk tersebut tidak mempunyai unsur babi hasil ujian yang disahkan oleh makmal Jakim sendiri dan makmal sebuah jabatan kerajaan lain.
“Apabila saya tahu sebuah jabatan kerajaan mengesahkan produk itu negatif, maka kami buat ujian sekali lagi dan hasilnya tetap positif. Jadi kami meragui adakah cara ujian yang dilaksanakan agensi kerajaan itu betul atau salah.
“Namun apa yang menyedihkan ialah berdasarkan polisi kerajaan, Jakim hanya menerima keputusan analisis dari makmal jabatan kerajaan, malah ia mengatasi semua hasil analisis makmal lain,” katanya.
Polisi seperti ini, kata beliau, harus diteliti semula kewajarannya memandangkan kesilapan boleh berlaku di mana-mana makmal sekalipun.
Cara terbaik adalah dengan mengadakan diskusi antara makmal dan pihak yang terlibat agar hasil keputusan sebenar dapat dipersetujui dan dicapai secara saksama.
Menurut beliau, kali terakhir pihaknya membuat ujian produk itu dua tahun kemudian dan ia masih diuji positif mengandungi gelatin babi dan bebas dijual sebagai produk halal dan dimakan oleh kanak-kanak.
Mengulas lanjut, katanya, berdasarkan polisi kerajaan juga adalah menjadi satu kesalahan sekiranya kenyataan umum berkaitan status halal atau haram sesuatu produk dilakukan oleh pihak tidak berkaitan seperti makmal swasta.
Walau ada bukti hasil keputusan makmal yang mempunyai ISO sekali pun, ia tetap tidak boleh diguna pakai sekiranya hasil keputusan dari makmal kerajaan memberikan keputusan yang berbeza.
Ini kerana hanya keputusan daripada jabatan kerajaan itu diterima sebagai rujukan pihak Jakim.
“Sebab itu kami tidak boleh cakap apa-apa dan hanya boleh maklumkan kawan-kawan supaya tidak makan produk itu kerana ujian telah mengesahkan ia positif. Agak menyedihkan kerana kita hanya mampu melihat sahaja saudara seislam kita makan makanan yang kita tahu tidak halal tetapi kita tidak boleh buat apa-apa kerana adanya polisi seperti ini.
“Elok sekiranya polisi seperti ini dipertimbangkan atau ditambah baik demi kepentingan ummah,” katanya.
Beliau turut membangkitkan satu lagi produk makanan import sejuk beku dari Korea Selatan yang mempunyai logo halal luar negara diiktiraf Jakim, namun disahkan mengandungi unsur babi pada tahun 2019.
Katanya, perkara sama berlaku selepas pihaknya membuat laporan kepada Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), namun produk itu juga disahkan negatif unsur babi melalui keputusan ujian yang dibuat oleh makmal jabatan kerajaan.
Sedangkan, katanya, analisis secara rawak terus dilakukan selepas laporan pertama dilakukan dan hasil keputusan makmal masih konsisten positif.
Maka katanya, sesuatu harus dilakukan dari sudut sumber rujukan makmal oleh pihak berkuasa seperti Jakim agar keputusan status produk di pasaran dapat ditentukan dengan lebih tepat.
“Keperluan mewujudkan status pengiktirafan makmal oleh pihak Jakim juga harus dipertimbangkan dengan sebaiknya.
“Ini penting agar makmal swasta yang melakukan analisis halal dapat ditentukan keupayaan serta integritinya, malah boleh dijadikan sebagai panel diskusi sekiranya terdapat percanggahan hasil keputusan di antara makmal kerajaan dan makmal swasta yang mempunya ISO,” katanya. – UTUSAN










