KUALA TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) Terengganu membayangkan hasrat mahu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mac atau Mei ini setelah mengambil kira beberapa faktor.
Pengarah Pilihan Raya Negeri PN Terengganu, Ariffin Deraman berkata, perbincangan awal telah diadakan di peringkat kepimpinan dan setakat ini ada beberapa tarikh yang dilihat sesuai untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi memberi laluan kepada PRN.
“Pilihan pertama ialah kita bubarkan DUN pada Februari selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tamat dan PRN diadakan pada Mac. Pilihan kedua pula ialah membubarkan DUN selepas habis sambutan Hari Raya Aidilfitri iaitu pada April agar PRN diadakan Mei.
“Buat masa ini, itu adalah dua pilihan masa yang terbaik untuk kita adakan PRN dan saya yakin ia tidak akan diadakan sehingga tempoh DUN Terengganu berakhir pada Jun nanti,” katanya selepas merasmikan majlis pelancaran Kalendar Acara Tahunan (COE) 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN ketika ini dengan 22 daripadanya dimenangi oleh Pas manakala baki 10 kerusi lagi dimenangi UMNO pada PRU14.
Ariffin berkata, Pas juga masih memperincikan pembahagian kerusi bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk berdepan PRN kali ini.
“Masih terlalu awal untuk mendedahkan mengenai bilangan kerusi yang bakal ditandingi oleh Pas dan Bersatu, namun saya yakin perkara itu bukanlah satu masalah besar kerana kita sudah bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu,” katanya.
Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat berkata, PN Terengganu juga yakin dapat menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN itu kerana hasil analisis yang dibuat pada PRU15 membuktikan sasaran itu dapat dicapai.
“Jika kita pecahkan undi peringkat Parlimen kepada DUN, kita sudah menang di 31 kerusi DUN sebenarnya. Pas hanya tewas di satu kerusi iaitu Telemong dengan majoriti yang sangat tipis iaitu hanya 600 undi dan saya yakin menjelang PRN nanti, angka 32-0 akan tercapai,” katanya. – UTUSAN