Polis rampas 2.15 kg ganja daripada 'rider'

Polis rampas 2.15 kg ganja daripada ‘rider’

Ganja yang dirampas daripada seorang lelaki yang menyediakan perkhidmatan menghantar dadah menggunakan motosikal di Johor Bahru, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang menyediakan perkhidmatan menghantar dadah menggunakan motosikal ditahan polis dalam satu operasi di bandar raya ini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan pada pukul 9.40 malam.

“Hasil pemeriksaan dibuat ke atas suspek, polis berjaya merampas dadah dipercayai jenis ganja seberat 2.15 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM5,000.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,100 dan motosikal jenis Yamaha LC yang digunakan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek negatif dadah.

“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan jenayah di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Suspek sebelum ini memberitahu pernah menghantar ganja seberat 1 kg dan menerima upah sebanyak RM200 untuk kerja itu. 

“Ini merupakan kali kedua suspek diberi tugasan untuk menghantar dadah seberat 2.15 kg tetapi berjaya ditahan,” katanya sambil memberitahu suspek baru menjalankan perkhidmatan penghantaran berkenaan.

Suspek kini direman tujuh hari hingga 15 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN