Polis minta saksi kes samun di stesen minyak tampil bantu siasatan - Utusan Malaysia

Polis minta saksi kes samun di stesen minyak tampil bantu siasatan

RAKAMAN CCTV kejadian seorang lelaki warga emas diragut dua lelaki di sebuah stesen minyak di Klebang Jaya, Chemor, Ipoh semalam. - UTUSAN

IPOH: Polis meminta saksi kejadian kes samun seorang lelaki warga emas di sebuah stesen minyak di Klebang Jaya, Chemor dekat sini, tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 9.48 pagi semalam, ketika mangsa berusia 65 selesai mengisi minyak.

Katanya, dua lelaki tidak dikenali yang memakai baju berwarna hitam telah berhenti di belakang motosikal mangsa dan meragut rantai leher emas miliknya.

“Mangsa dalam kejadian ini tidak mengalami kecederaan. Anggaran kerugian yang dialaminya berjumlah RM5,000.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, saksi awam yang melihat kejadian atau mempunyai kamera papan pemuka yang merekod maklumat kenderaan suspek diminta tampil membantu siasatan. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN