PMKS manfaatkan kelebihan inovasi, digitalisasi

PMKS manfaatkan kelebihan inovasi, digitalisasi

Dasar gaji progresif dijangka dapat membantu menaikkan lebih sejuta pekerja terutama pekerja sektor PMKS.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANDEMIK yang melanda dunia pada awal 2020 telah memberi impak yang begitu signifikan terutamanya kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini.

Ia lebih ketara bila mana kumpulan ini adalah antara penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semasa iaitu sebanyak lebih 40 peratus, dan ia juga merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

Sepertimana semua maklum, Covid-19 merupakan fenomena luar jangka yang telah memberi cabaran luar biasa kepada pengusaha PMKS untuk terus memacu perusahaan mereka dengan lebih proaktif.

Terdapat pelbagai aktiviti perniagaan dan ekonomi yang terjejas dan seterusnya menyebabkan pendapatan pengusaha PMKS semakin merosot dan berkurangan. Bukan itu sahaja, pada pertengahan tahun 2021, sebanyak 90 peratus PMKS berdepan dengan risiko penutupan perniagaan akibat daripada perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada 18 Mac 2020.

Akibatnya, dengan penutupan PMKS ini juga telah menyebabkan rakyat Malaysia kehilangan tiga juta peluang pekerjaan. Sektor lain yang terjejas dalam tempoh sebelum dan pasca pandemik adalah organisasi kontraktor yang terlibat dalam sektor pembinaan, pe­ngusaha dan pemilik hotel, calet dan pusat rekreasi dalam sektor pelancongan dan juga sektor pembuatan.

Ekoran daripada kejadian ini, pihak kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah melaksanakan langkah intervensi bagi membantu usahawan bagi memastikan mereka kembali bangkit menangani cabaran daripada kesan Covid-19 ini.

Jelas sekali, inisiatif kerajaan dengan bantuan pembiayaan dan pemberian kemudahan moratorium bersasar amatlah membantu usahawan PMKS dalam mengatasi permasalahan yang mereka hadapi.

Selain bantuan kerajaan yang berbentuk kewangan dalam memangkin pengusaha PMKS yang terjejas, pelbagai inovasi dan digitalisasi telah diperkenalkan di mana ia dapat membantu mereka untuk kembali beraksi dalam era pasca pandemik. Walaupun banyak pengusaha terjejas, namun terdapat rahmat terselindung di sebalik musibah ini.

Dengan kekurangan tenaga pekerja dan kekurangan bekalan makanan mentah dunia, ia telah menggalakkan lagi rantaian makanan yang dikenali sebagai produk separa masak.

Wabak yang melanda juga telah meningkatkan kecenderu­ngan pembelian dan pilihan pengguna terhadap makanan sejuk beku.

Menurut definisi Food and Agriculture Organization (FAO), makanan sejuk beku bermaksud makanan yang disimpan di dalam peti sejuk yang bersuhu di bawah negatif 18°C.

Jika suatu masa dahulu pengguna mempersoalkan tentang soal kualiti kesegaran produk ini. Akan tetapi, perkembangan teknologi dan pelbagai kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa produk sejuk beku selamat dimakan malah kandungan lemak dan nutrisi di dalamnya juga terkawal.

Mengambil contoh produk sejuk beku ini biasanya dijual dalam tiga bentuk, iaitu makanan mentah, separa proses dan sedia dimakan. Pengusaha makanan sejuk beku yang menyediakan kemudahan kepada pembeli tanpa perlu menjadi pakar memasak.

Dengan hanya menyahbeku makanan tersebut dan dipanaskan di dalam ketuhar gelombang atau di atas kuali, pengguna dapat menikmati juadah makanan yang enak dalam masa yang singkat.

Selain itu, kaedah ini juga dapat menjimatkan masa dan tenaga pengguna yang sibuk dengan tugasan harian. Dengan inovasi yang ditawarkan ini ia mampu memberi kemudahan kepada semua peringkat umur pengguna dengan harga yang berpatutan dan tempoh penyimpanan yang panjang selama satu tahun.

Dalam tempoh pasca pandemik ini, pelbagai usaha penambahbaikan telah dijalankan oleh pengusaha pembuatan makanan sejuk beku ini.

Kebanyakan mereka terus memberi fokus kepada usaha untuk membaik pulih tatacara pengendalian piawai (SOP) pengeluaran, memastikan kos pengeluaran tidak naik secara mendadak, memohon sijil Halal, dan memastikan kualiti tidak langsung terjejas.

Dengan usaha penyelidikan dan pembangunan ini, produk akan tahan lebih lama serta mampu dipasarkan ke luar negara.

Berdasarkan perkembangan positif permintaan makanan sejuk beku, sekumpulan saintis daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencipta satu produk dinamakan Peptida Antibeku yang memberi manfaat yang cukup besar terhadap strategi pemasaran industri sejuk beku negara.

Hikmah di sebalik pandemik ini juga, pangusaha PMKS dilihat semakin mahir dalam memanfaatkan teknologi dan digitalisasi secara lebih konsisten dan meluas. Bak kata pepatah “Alah bisa, tegal biasa”. Pengusaha giat menyediakan platform jualan atas talian, di mana ia memberi kelebihan untuk menguruskan perniagaan dan transaksi dengan lebih efisien tanpa perlu ada penambahan kos. Malahan, kini mereka mampu menjana hasil jualan bulanan mencecah ratusan ribu ringgit menerusi pelbagai aktiviti e-dagang seperti pembayaran secara digital serta perkhidmatan logistik yang semakin mendapat perhatian dan menjadi kebiasaan.

Menurut pakar pemilihan makanan sejuk beku juga adalah berpunca daripada gaya hidup yang berubah dan ramai individu mempunyai waktu terhad, mendorong mereka memilih makanan yang mudah disediakan. Pengguna juga tidak lagi khuatir atau sangsi dengan kualiti makanan sejuk beku kerana kualiti dan kebersihan sentiasa dipertingkatkan tanpa kompromi.

Pada dasarnya, pasaran makanan sejuk beku yang kian berkembang pada kadar yang stabil sepanjang tempoh 2017 hingga 2022. Malah ia diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan kompaun tahunan sebanyak 7 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mencapai saiz pasaran sebanyak RM800 bilion menjelang 2023.

Kesimpulannya, dengan memaksimumkan kebaikan dan manfaat inovasi dan pendigitalan dalam perusahaan PMKS sejuk beku, ia dilihat mampu memartabatkan industri PMKS di persada antarabangsa yang mana ia selari dengan era persaingan Revolusi Industri 4.0.

PENULIS Pensyarah Kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa (SoIS), UUM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya