Perwakilan ‘import’: Jamal mahu KJ digantung - Utusan Malaysia

Perwakilan ‘import’: Jamal mahu KJ digantung

Sungai Besar
JAMAL MD. YUNOS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO Bahagian Sungai Besar meminta parti itu supaya menggantung keahlian bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin susulan tuduhan kononnya urusetia parti itu mengimport perwakilan daripada luar untuk mengundi usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, tuduhan itu merupakan satu dakwaan yang amat jahat dan beliau yakin bekas Menteri Kesihatan itu mempunyai niat tersembunyi untuk memburukkan UMNO.

“Saya yang hadir beberapa hari ini, saya sendiri mengamati bahawa dakwaan Khairy (bahawa) dewan perhimpunan ini dipenuhi dengan perwakilan import adalah tidak benar sama sekali. Kita Ketua-Ketua Bahagian mengenali perwakilan yang ada, jadi saya minta Lembaga Disiplin UMNO ambil tindakan kepada Khairy yang sembrono mengeluarkan kenyataan berniat jahat ini.

“Selepas ini saya akan membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin supaya mereka dapat mengambil tindakan dan saya berharap Khairy boleh digantung daripada ahli UMNO kerana kenyataanya sangat memalukan UMNO dan saya sendiri sebagai Ketua Bahagian Sungai Besar merasakan kenyataan tersebut mengaibkan seluruh ahli,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Laman Media, Pusat Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia di sini.

Terdahulu, media melaporkan, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau mendakwa, beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka di sini, ditanggalkan untuk undian usul pada petang ini.

Menerusi satu video di akaun TikTok, Khairy berkata, tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan ‘import’ dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Berhubung tanda nama yang didakwa ditanggalkan, Jamal berkata, beliau bagaimanapun tidak perasan terhadap tuduhan itu.

“Tetapi kalau kenyataan itu datang dari Khairy, sedangkan kami dari semalam dan hari ini berada di dewan, saya yakin perbuatan tersebut dilakukan oleh orang Khairy sendiri, kami tak perasan.

“Saya yakin mungkin dalam waktu rehat hari ini, perbuatan tersebut dilakukan oleh konco beliau sendiri (sebab) Khairy sahaja tahu, orang lain tak tahu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN