Perkhidmatan tren SkyPark Link digantung sementara - Anthony - Utusan Malaysia

Perkhidmatan tren SkyPark Link digantung sementara – Anthony

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan membuat keputusan untuk untuk menghentikan sementara perkhidmatan SkyPark Link yang menghubungkan Stesen KL Sentral dan Lapangan Terbang Subang, bermula 15 Februari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini kerana laluan tersebut kurang mendapat permintaan meskipun kerajaan sudah membelanjakan subsidi sebanyak RM15 juta bagi memberikan tiket murah kepada orang ramai.

Bagaimanapun beliau berkata, tempoh akhir penangguhan itu masih belum dimuktamadkan, dan beliau tidak menolak ia disambung semula sekiranya laluan itu mula mendapat permintaan dan potensi yang tinggi.

“Laluan SkyPark Link diadakan sejak 2018 iaitu pada tahun pertama saya menjadi Menteri Pengangkutan dan kita membelanjakan RM15 juta setiap setahun untuk memastikan ia berfungsi. Kita juga menurunkan harga tambang, tetapi ia tidak mendapat sambutan.

“Malah hasil kajian yang dilakukan, hanya purata 80 penumpang sahaja menggunakan perkhidmatan itu setiap hari. Kita memberikan subsidi berterusan sehingga kini, tetapi ia masih kurang memuaskan sehingga adakalanya tren berjalan kosong tanpa penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni penumpang perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen KL Sentral bersempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, empat tren yang digunakan di laluan SkyPark Link akan dipindahkan untuk kegunaan semasa dengan dua daripadanya dihantar ke laluan utara, manakala baki dua lagi tren digunakan untuk perkhidmatan komuter Lembah Klang.

Beliau menambah, dengan penjimatan berjumlah RM15 juta setahun itu, kementerian akan menggunakan peruntukan itu untuk inisiatif lain termasuk kemampuan untuk menawarkan perkhidmatan percuma kepada pelajar sekolah yang menggunakan kereta api seperti di laluan Dabong-Kuala Gris. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya