Penganjur sukan permotoran perlu patuh SOP keselamatan litar - Utusan Malaysia

Penganjur sukan permotoran perlu patuh SOP keselamatan litar

SAARANI Mohamad (tengah) bergambar bersama penerima insentif Para Sukma XX pada majlis di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Semua penganjur sukan permotoran perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ditetapkan bagi mengelak kejadian kemalangan mengorbankan seorang penonton di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah baru-baru ini daripada berulang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang penganjuran acara sukan itu perlu mendapatkan kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).

Katanya, PJS dan MAM yang merupakan badan induk sukan permotoran akan menetapkan syarat-syarat dan SOP yang perlu dipatuhi penganjur sepanjang acara berlangsung.

“Saya tertanya-tanya adakah sepatutnya mangsa berada di situ kerana biasanya di kawasan litar, hanya mereka yang bertugas dibenarkan masuk termasuk juruteknik, marsyal dan juga jurugambar yang telah ditetapkan tempat untuk menunggu.

“Program atau sukan-sukan berpotensi untuk kemalangan biasanya akan ada SOP yang sangat ketat, tapi macam mana hari itu, mangsa berada di tengah padang (tepi litar), ini satu persoalan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Insentif Kepada Kontinjen Para Sukan Malaysia XX (Para Sukma XX) di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang menunggu siasatan dan laporan penuh daripada agensi berkaitan termasuk polis berhubung insiden berkenaan.

“Kita masih menunggu laporan penuh MAM dan pihak berkuasa seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis untuk kita mengetahui sama ada penganjuran itu telah mendapat kelulusan atau tidak.

“Kalau ada kebenaran, pesuruhjaya sukan akan meletakkan syarat dan SOP yang perlu dipatuhi. Jadi saya tidak pasti sama ada penganjur itu mempunyai kebenaran untuk menganjurkan acara berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, mangsa, Muhammad Amir Mohd. Yusoff, 32, maut selepas dirempuh sebuah kereta Proton Satria ketika menyaksikan pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah.

Kejadian sekitar pukul 3.30 petang itu dipercayai berpunca akibat dua buah kereta hilang kawalan selepas bergesel sesama sendiri sebelum salah sebuah kereta terbabas ke kanan litar lalu memasuki laluan berumput.

Kenderaan yang terbabas itu telah melanggar salah seorang penonton yang berada di atas kawasan berumput dalam jarak sembilan meter dari laluan litar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN