Penerbit Indonesia lebih berani ambil risiko - Bront Palarae

Penerbit Indonesia lebih berani ambil risiko – Bront Palarae

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bukan mudah anak seni tempatan menembusi pasaran negara jiran, Indonesia dan menjadi terkenal di negara itu. 

Situasi tersebut berlainan keadaan dengan artis dari negara itu yang mana laluan mereka untuk mencipta nama di Malaysia dilihat lebih mudah.

Bagi pelakon atau penyanyi tempatan yang  berjaya terkenal di Indonesia bertuah kerana kehadiran mereka diiktiraf dan diterima baik masyarakat negara tersebut.

Tentunya peluang bekerja di Indonesia membuahkan pengalaman unik dan berbeza kerana mungkin apa yang dilalui mereka di sana tidak sama dengan keadaannya di Malaysia.

Bagi pelakon berbakat besar, Bront Palarae, tidak wujud perbezaan ketara antara cara kerja produksi tempatan dan Indonesia.

Kata Bront, budaya kerja penggiat filem kedua negara berkongsi banyak persamaan antara satu dengan lain.

“Berdasarkan pengalaman bekerja di Indonesia, tidak banyak beza dengan pengalaman bekerja di Malaysia.

“Yang membezakan sebenarnya bukan negara, tetapi produksi itu sendiri. Di Indonesia, ada syarikat produksi yang bagus dan ada yang sebaliknya.

“Begitu juga halnya dengan industri filem di Malaysia, kita akan bekerja dengan banyak produksi, ada yang bagus dan ada yang tidak. Itu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, kata Bront, kos pembikinan filem dan drama di Indonesia berbeza dengan Malaysia.

“Kos penggambaran lebih rendah di Indonesia berbanding Malaysia. Itu antara perbezaan yang mungkin sedikit ketara antara kedua negara.

“Penerbit di Indonesia juga lebih berani mengambil risiko ketika membuat pelaburan untuk menghasilkan filem kerana mereka tahu khalayak dan penonton di sana lebih ramai dan pasarannya lebih luas berbanding Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu disoal sama ada dia pernah mempertimbangkan untuk berpindah ke Indonesia untuk mengembangkan lagi kerjaya di sana, kata Bront, perkara tersebut masih dipertimbangkan.

“Apabila kekerapan untuk saya terbang ke Indonesia tinggi, saya merasakan tidak logik untuk saya tidak berhijrah ke sana. Ia tidak logik untuk keluarga, produksi di sana, pendidikan anak-anak dan sebagainya.

“Mungkin perpindahan itu boleh dipertimbangkan tetapi bukanlah dalam masa terdekat. Masih belum diputuskan kerana saya perlu menilai keadaan,” jelasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya