PASIR MAS: Penduduk di Kampung Rong Chenok di sini mengakui masih trauma dengan banjir melanda kawasan berkenaan 18 Disember lalu yang dianggap terburuk sejak lima dekad lalu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Zulkifli Mohamad, 50, yang merupakan penduduk asal kampung berkenaan berkata, bencana itu menyebabkan pondok yang dibina untuk berlindung daripada banjir hampir roboh manakala rumahnya turut ditenggelami air lebih dua meter.
“Banjir 2014 lalu, tidaklah seburuk apa yang berlaku pada Disember lalu kerana saya dan penduduk lain masih boleh berlindung di kediaman masing-masing walaupun kawasan kampung ditenggelami air. Namun tidak kali ini apabila rumah ditenggelami air.
“Susulan itu, kami membuat keputusan untuk berlindung di masjid berdekatan bagi menyelamatkan diri,” katanya selepas menerima sumbangan dari Pertubuhan Misi Rakyat di sini semalam.
Sementara itu, Siti Fatimah Abdul Ghani 35, memberitahu, pengalaman banjir kali ini menyebabkan dia masih trauma sehingga kini apabila anak bongsunya hampir lemas ketika air mula masuk ke dalam rumah.
Katanya, semasa kejadian dia sedang solat zohor dan tidak menyedari anak bongsu, Muhammad Khairul Fahmi, 6, sedang bermain air.
“Mujurlah adik beradiknya yang lain perasan dan sempat menyelamatkan Muhammad Khairul Fahmi daripada kejadian tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamad Mat Yusof, 43, berkata, banjir kali ini menyebabkan dia mengalami kerugian yang banyak selepas gagal menyelamatkan barangan di dalam rumah ekoran air naik terlalu cepat.
“Keseluruhan rumah tenggelam tidak sampai dua jam dan air memenuhi kawasan dalam rumah lebih dua meter,” katanya. -UTUSAN










