Penduduk Kampung Sungai Baru desak projek pembangunan semula dilaksana segera - Utusan Malaysia

Penduduk Kampung Sungai Baru desak projek pembangunan semula dilaksana segera

KEADAAN di Pangsapuri PKNS Jalan Sungai Baru, Kampung Baru yang sunyi sepi kerana sebahagian penduduk telah diarah mengosongkan kediaman mereka bagi tujuan program pembangunan semula kawasan itu. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penduduk di Kampung Sungai Baru dekat sini mendesak kerajaan agar projek pembangunan semula di kawasan berkenaan dapat dilaksanakan tanpa sebarang penangguhan.

Ini kerana menurut wakil kumpulan majoriti Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Mohd. Adam Abdul Aziz berkata, projek pembangunan itu sudah empat tahun tertangguh sekali gus menjejaskan penduduk di kawasan berkenaan.

Dalam satu surat yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertarikh 17 Januari lalu, beliau menegaskan penduduk mahukan keadilan yang saksama dalam tuntutan tersebut serta berharap suara majoriti penduduk didengari dan mendapat perhatian serta tindakan diambil dengan segera.

“Untuk pengetahuan Datuk Seri (Anwar), keadaan rumah kami di Kampung Sungai Baru amatlah daif, sudah usang dan dikira tidak lagi selamat untuk diduduki, kami berharap agar projek pembangunan ini dapat mengubah kehidupan kami kelak,” katanya dalam surat yang dihantar ke Pejabat Perdana Menteri itu.

Sejak 2016, majoriti pemilik telah menandatangani Perjanjian Usahasama dengan pemaju dan bersetuju dengan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru bagi memiliki kehidupan lebih selesa untuk generasi akan datang.

Bagaimanapun selepas lima tahun proses perbincangan dengan pemilik-pemilik, masih terdapat sekumpulan minoriti pemilik tidak bersetuju dengan projek pembangunan berkenaan, di mana akhirnya pemaju telah membuat permohonan untuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi memastikan projek itu dapat diteruskan.

Mengulas lanjut, Mohd. Adam berkata, sekumpulan minoriti itu telahpun mendapat pampasan, sekali gus pihaknya meluahkan kekecewaan apabila Perdana Menteri meminta projek itu ditangguhkan.

“Kami kumpulan majoriti merasakan hak dan suara kami dinafikan oleh kerajaan apabila tiada pun sebarang usaha daripada pihak kerajaan mendengar rintihan kami.

“Kenyataan oleh pejabat Yang Amat Berhormat Datuk Seri baru-baru ini untuk menangguhkan sementara projek pembangunan semula ini amat memberi kekecewaan dan kesan emosi yang teruk kepada kami yang sudah lama menanti pembangunan semula ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya tidak menghalang sebarang hasrat atau usaha kerajaan untuk membela nasib bekas pemilik-pemilik yang telah menerima pampasan yang diputuskan melalui Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Namun usaha yang sama juga daripada pihak kerajaan perlu diberikan perhatian lebih khusus kepada kami pihak majoriti yang telah bersetuju dengan pembangunan semula ini.

“Oleh yang demikian kami pihak majoriti pemilik hartanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru mendesak agar projek pembangunan semula ini dapat dilaksanakan tanpa ada lagi sebarang penangguhan.

“Kami mahukan keadilan yang saksama dalam tuntutan ini serta berharap suara majoriti kami didengari dan mendapat perhatian dan tindakan diambil dengan segera,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya