Penantian 40 tahun miliki geran tanah berakhir

Penantian 40 tahun miliki geran tanah berakhir

S. SANTAMARIA menunjukkan lot tanah yang diterimanya pada Program Penempatan Tapak Lot Kediaman di RPT Bemban Rakyat di Batu Gajah, Perak, baru-baru ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Setelah hampir 40 tahun menunggu, penduduk kawasan setinggan di Buntong, Ipoh menerima geran tanah untuk membina rumah di bawah Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Bemban Rakyat, di sini.

Seorang penerima geran tanah yang merupakan ibu kepada tiga anak, S. Santamaria, 49, gembira kerana akhirnya dia dan pemohon lain mendapat hak milik tanah yang dijanjikan kepada mereka.

Katanya, dalam kegembiraan itu, masih ada perasaan sedih kerana mendiang ibunya tidak dapat melihat geran tanah yang diserahkan kepada penerima memandangkan dia antara individu yang berjuang untuk mendapat hak milik tanah tersebut.

“Saya masih ingat bagaimana mendiang ibu berjuang mendapatkan hak milik tanah ini sejak saya berusia 11 tahun.

“Sewaktu saya menerima surat untuk mengambil geran ini pada April 2020, ibu saya telah meninggal dunia. Mendiang hanya sempat datang untuk cabutan lot,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, ramai antara mereka yang berjuang mendapatkan hak milik tanah di RPT itu sudah meninggal dunia kerana menunggu dalam tempoh lama untuk mendapatkan geran.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata, seramai 150 orang menerima lot geran tanah yang dijanjikan di RPT itu.

Katanya, ada penerima yang tidak dapat hadir untuk menerima geran tersebut mungkin disebabkan hari bekerja dan pihaknya akan mencari mereka untuk menyerahkannya.

“Dalam program inii, kerajaan negeri memberi tanah seluas 165 hektar tetapi yang dibangunkan hanyalah satu pertiga.

“Dua pertiga ini mungkin akan dibangunkan rumah kos murah. Lebih kurang 420 orang yang belum mendapat tawaran,” katanya.

Menurutnya, bukan semua penerima mampu mendirikan rumah dan mungkin tanah yang diberikan terbengkalai.

“Saya risau jika mereka tidak mampu membangunkan rumah malah nanti timbul isu lain. Bagi yang belum menerima tawaran, kemungkinan kerajaan akan mendirikan rumah kos rumah,” katanya.

Katanya, penerima geran pada program itu bertuah kerana menerima satu lot yang berkeluasan 3,000 hingga 4,000 kaki persegi.

“Walaupun terpaksa menunggu lama, mereka ini bertuah kerana menerima lot banglo. Di kawasan perumahan, biasanya 1,500 kaki persegi sahaja, tetapi mereka menerima dua kali ganda dari keluasan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN