GUA MUSANG: Pelajar Sekolah Agama Tahfiz Anak Yatim dan Miskin (Satyatim) Kampung Jerek Baru di sini, terpaksa berkongsi wang sebanyak RM5 sehari untuk membeli makanan bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam menimba ilmu.
Langkah itu terpaksa diambil susulan pusat pengajian berkenaan berdepan dengan krisis kewangan ‘kronik’ ketika ini untuk terus beroperasi.
Pembantu Mudir, Mohd. Shahidan Md. Radzee, 37, berkata, akibat kekurangan dana, pihak pengurusan Satyatim tidak dapat menyediakan kemudahan yang selesa termasuklah membaiki bumbung, tingkap dan dinding bangunan yang rosak.
Katanya, masalah sumber kewangan itu menyebabkan Satyatim tidak dapat menerima bilangan pelajar yang ramai kerana berdepan kekurangan kos operasi.
“Selepas pandemik Covid-19, Satyatim hanya menerima 20 orang pelajar tahfiz dan enam orang pelajar pondok.
“Dana pula mengikut keperluan sendiri daripada mudir dan pelajar. Sebagai contoh, setiap hari kita akan berkongsi wang RM5 seorang bagi membeli makanan,” katanya selepas menerima sumbangan kotak makanan daripada Timbalan Pengerusi Persatuan Cakna Kasih Gua Musang, Rohaizad Che Soh.
Masalah berkaitan kewangan turut diakui oleh seorang pelajar pondok, Mohd. Radhuan Mat Hussin, 46.
Katanya, walaupun keperluan asas serba kekurangan, rata-rata pelajar tetap bersyukur dan berharap Satyatim akan terus membangun dengan lebih cemerlang pada masa hadapan.
“Ketika ini kami belajar di surau yang keadaannya juga daif kerana tidak berdinding.
“Kami berharap ada pihak yang sudi membantu memberi sumbangan bagi membaik pulih bangunan Satyatim ini untuk membolehkan lebih ramai orang belajar agama,” ujarnya.
Satyatim yang ditubuhkan pada tahun 2009 di tapak bangunan terbiar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerek sebelum ini beberapa kali bertukar pemilik kerana diuruskan secara persendirian dan hanya bergantung kepada sumbangan derma orang ramai.
Orang ramai yang ingin memberi bantuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi wakil Satyatim di talian 011-55043023. – UTUSAN