Peguam fail petisyen kes Najib ke PBB

Peguam fail petisyen kes Najib ke PBB

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan guaman mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Perundangan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penahanan Rambang (UNWGAD) atas dakwaan penahanan arbitrari.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, petisyen tersebut dibuat melalui penghantaran digital ke ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva kira-kira pukul 1.30 petang ini.

“Kami memfailkan petisyen ini di Geneva melalui penghantaran digital. Tajuk aduan itu adalah ‘Datuk Seri Najib Razak lawan Malaysia’.

“Jadi kita membawa negara ini ke Pertubuhan PBB kerana kita mengatakan bahawa negara telah gagal memberikan perbicaraan yang adil kepada Najib,” katanya di pejabatnya di Bukit Tunku di sini, semalam.

 

Muhammad Shafee Abdullah (tengah) dan barisan peguam dalam sidang akhbar hari ini.

Muhammad Shafee berkata, langkah memfailkan petisyen kepada UNWGAD bertujuan meminta pembebasan atau perbicaraan semula berikutan pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang mempunyai kecacatan serius malah bertentangan dengan peraturan undang-undang antarabangsa.

Malah tegasnya, Najib telah meminta panel UNWGAD yang terdiri daripada lima pakar keadilan antarabangsa supaya memutuskan bahawa penolakan rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 adalah tidak adil, cacat dan melanggar hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.

“UNGWAD yang akan mendengar rayuan itu terdiri daripada lima hakim hak asasi manusia yang terkenal. 

“Mereka tidak akan dipanggil untuk membuat keputusan sama ada Najib bersalah atau tidak. Tetapi tujuannya untuk menentukan sama ada perbicaraannya adil dan jika tidak, boleh memanggil kerajaan untuk membebaskannya atau memberikan perbicaraan,” katanya.

Pada masa sama, Muhammad Shafee berkata ,walaupun keputusan ini tidak mengikat secara langsung, namun mempunyai kesan dan pengaruh yang sangat besar kepada negara kerana salah seorang anggota UNWGAD tersebut merupakan wakil dari Malaysia.

Pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap Najib.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN