PBT perlu baiki tatacara penjagaan haiwan terbiar - Tengku Permaisuri Selangor - Utusan Malaysia

PBT perlu baiki tatacara penjagaan haiwan terbiar – Tengku Permaisuri Selangor

Haiwan terbiar
KEADAAN anjing yang terabai di sebuah pusat kurungan haiwan di Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini memperbaiki dan menaiktaraf tatacara pengurusan di pusat kurungan haiwan terbiar seperti anjing dan kucing masing-masing.

Baginda menzahirkan kekecewaan susulan tular gambar dan video keadaan anjing yang terabai di sebuah pusat kurungan haiwan itu.

“Sebagai Penaung Diraja bagi kempen Stray Free Selangor (SFS) oleh Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, baginda mahu pihak berwajib meneliti semula pendekatan lebih holistik dalam menguruskan pusat kurungan haiwan terbiar itu.

“Menyedari haiwan di pusat itu kebanyakannya tidak terurus dan kurang nutrisi, baginda mahu prosedur operasi standard (SOP) harian yang digunapakai kini disemak semula,” titah baginda dalam kenyataan semalam.

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, usaha memelihara kebajikan dan mengurangkan haiwan terbiar itu perlu dipergiat menerusi kempen Create Caring and Compassionate Communities (CCC).

“Cadangan itu antaranya memperkasakan kerjasama  antara PBT dan penduduk serta menyediakan jadual lawatan berkala oleh SPCA dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke pusat kurungan haiwan terbiar.

“Selain itu, pegawai kebajikan dan pencinta haiwan perlu ditempatkan di setiap daerah dan mendapatkan khidmat nasihat dan pemantauan daripada SPCA jika wujud keperluan untuk melupuskan haiwan berkenaan atas faktor kesihatan atau sebagainya,” titah baginda.

Baginda turut mengharapkan usaha menjaga kebajikan haiwan itu akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga.

“Selain tanggungjawab yang harus dilaksanakan pihak berwajib, baginda juga mahu masyarakat menggalas peranan lebih signifikan.

“Ia terutamanya dalam memupuk perasaan sayangkan haiwan dan prihatin dengan keadaan sekeliling,” titah baginda. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya