PETALING JAYA: Tiada usul mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan dikemukakan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bakal berlangsung dari 11 hingga 14 Januari ini.
Sebaliknya, hanya usul ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diketengahkan pada 13 Januari ini.
Bagaimanapun, dua usul akan dikemukakan dalam perhimpunan agung khas yang berlangsung selepas ucapan dasar Presiden iaitu meminda perlembagaan parti bagi memasukkan elemen Akta Anti Lompat Parti dan menjadikan ketua-ketua penerangan sebagai perwakilan automatik dalam perhimpunan akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan, beliau enggan menjawab sebarang soalan mengenai pemilihan parti kerana perkara itu belum dibincangkan dalam peringkat parti.
“Hanya ada satu usul iaitu Ucapan Dasar Presiden yang tentunya meliputi pelbagai perkara seperti pendidikan, kos sara hidup, agama dan sebagainya. Jadi, soal pemilihan belum dibincangkan.
“Tajuk utama kita adalah perhimpunan, ada kawan media saya dari serata tempat, dia akan buat tajuk lain daripada tajuk utama, maka saya tak mahu terperangkap dengan soalan sebegitu rupa. Saya hanya fokus kepada perhimpunan agung kali ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini. – UTUSAN