KUALA LUMPUR: Pemilihan semua peringkat UMNO yang ditangguhkan sebelum ini dijangka diadakan sebelum 19 Mei tahun ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tarikh itu selepas mengambil kira tempoh enam bulan daripada tarikh membuang undi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lepas.
Beliau berkata, ia bagi menjelaskan kerana pihaknya tidak menolak kemungkinan ada perwakilan UMNO yang akan membangkitkan isu berhubung etika pemilihan parti dan bila pemilihan parti.
“Pemilihan parti semua peringkat Cawangan, Bahagian dan Majlis Tertinggi termasuk Exco sayap hendaklah diselesaikan sebelum 19 Mei 2023.
“(Namun) pengumuman tentang tarikh itu tidak dibuat semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022, tentu ada tempoh bebrapa minggu untuk membut keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di Laman Media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Seramai 2,838 perwakilan daripada semua peringkat terlibat dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 kali ini.
Mereka terdiri daripada 57 ahli Majlis Tertinggi (MT), 30 wakil sayap parti, 2569 wakil Bahagian dan 182 ketua penerangan yang terlibat selaku pemerhati.
Menurut Ahmad, perhimpunan UMNO kali ini memberi tumpuan kepada masa depan parti itu termasuk bagaimana untuk melangkah kehadapan selain pelajaran daripada PRU15.
“Walaupun telah memang dalam tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK), menang 75 peratus di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan menang 72 peratus di PRN Johor.
“Tujuh PRK dan dua PRN yang kesemua presidennya adalah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kenapa masa pilihan raya umum tak dapat ulangi kejayaan.
“Tentu ada sebab luar biasa yang berlaku sehingga menyebakan kami tewas, hanya 30 kerusi yang ada. Jadi saya ingin mendengar apa pandangan dan ulasan kenapa wujud keluarbiasaan itu, apa sebab, punca dan pelan yang boleh perbaiki di masa depan,” katanya.
Selain itu, beliau menambah, persiapan menghadapi PRN di enam negeri juga dijangka menjadi tumpuan perbahasan pada kali ini.
“Pembahas membahas tiga peringkat mulai esok,” katanya. –UTUSAN