HULU KLANG: Perbadanan Kemajuan Film Nasional Malaysia (Finas) menggesa penggiat filem dan drama tempatan mematuhi ketetapan jumlah waktu bekerja seperti tertakluk di bawah Akta Kerja 1955.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof. Dr. Md. Nasir dalam kenyataan berkata, perkara itu penting bagi memastikan kebajikan pekerja dalam sektor berkenaan dapat dijaga sebaiknya.
“Finas mengambil maklum isu kerja lebih masa melibatkan pekerja dalam sektor penggambaran, terutama pelakon dan kru produksi yang tular di beberapa saluran media sejak kebelakangan ini.
“Selaras dengan peruntukan dan pindaan terkini Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2023, pekerja dalam industri perfileman juga tidak terkecuali.
“Ketetapan jumlah waktu bekerja yang telah dipersetujui dan ditetapkan menurut terma dan syarat kontrak antara majikan dan pekerja hendaklah dipatuhi seperti yang diperuntukkan di bawah Aka Kerja 1955.
“Justeru, kebajikan pekerja dan kelonggaran dalam tempoh bekerja yang diperuntukkan di bawah akta tersebut adalah terpakai kepada penggiat industri filem yang terlibat dengan penggambaran.
“Diharapkan setiap pekerja dan majikan dalam industri tersebut cakna tentang pindaan terkini Aka Kerja 1955 agar tiada salah faham timbul antara kedua-dua belah pihak,” katanya.
Dalam masa yang sama, Md. Nasir juga berharap, penggiat industri jelas dengan bidang kuasa badan tersebut bagi mengelakkan sebarang kekeliruan melibatkan isu terbabit,
“Persetujuan terhadap terma dan syarat kontrak yang dimaksudkan adalah antara penerbit (sebagai majikan) dan pelakon atau kru produksi (sebagai pekerja).
“Dalam hal ini, adalah ditekankan bahawa Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) tidak memberi kuasa perundangan kepada Finas berhubung aspek tempoh waktu kerja. Akta 244 juga tidak boleh mengatasi peruntukan Akta Kerja 1955 yang terpakai dan berkuatkuasa dalam aspek jumlah waktu bekerja.
“Maka, pandangan FINAS mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan atau menetapkan had kerja penggiat seni adalah tidak tepat sama sekali, malah ia bercanggah dari segi undang-undang. Diharapkan, kekeliruan dan salah tafsir segelintir pihak mengenai bidang kuasa Finas dalam isu berkaitan dapat diperbetulkan,” tambahnya.
Md. Nasir turut memaklumkan, pihaknya berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan filem untuk membincangkan hal tersebut dan mencari jalan penyelesaian.
“Finas mengambil pendekatan terbuka dan proaktif dalam hal ini, justeru kami berhasrat mengundang wakil persatuan perfileman seperti Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pekerja Profesional Film Malaysia
(PROFIMA), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan entiti pemegang taruh lain yang berkepentingan untuk membincangkan isu ini secara profesional dalam masa terdekat.
“Finas juga bersedia dan terbuka menerima sebarang kritikan serta cadangan membina daripada semua pihak demi memastikan kepentingan dan kebajikan pekerja industri perfileman negara terbela dan dilindungi,” ujarnya.