Isu tajaan syarikat arak:  Maszlee bidas Guan Eng, pertahan Fadhlina - Utusan Malaysia

Isu tajaan syarikat arak:  Maszlee bidas Guan Eng, pertahan Fadhlina

MASZLEE MALIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Dr. Maszlee Malik menyelar tindakan  Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang dilihat memperlekeh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung isu promosi syarikat arak di dalam acara melibatkan sekolah.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, tindakan dan pengumuman Fadhlina adalah selari dengan keputusan Kabinet, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), pekeliling Kementerian Pelajaran (KPM) dan semangat MADANI yang dibawa Kerajaan Perpaduan iaitu mempromosikan gaya hidup sihat dalam pendidikan.

“Membenarkan syarikat arak dipromosikan secara besar-besaran di acara melibatkan sekolah adalah tindakan membuka kotak Pandora untuk membenarkan industri tidak sihat dipromosikan di dalam sistem pendidikan seperti industri tembakau, industri vape, industri perjudian dan hiburan kelab malam.

“Guan Eng tidak perlu melihat isu promosi arak di dalam acara melibatkan sekolah dari sudut politik, agama mahupun perkauman. Ia berkaitan isu kesihatan, isu kesejahteraan hidup dan juga sivik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Guan Eng yang juga Pengerusi DAP mengingatkan Fadhlina supaya tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda UMNO dalam isu kutipan dana pendidikan Cina dengan menegaskan Fadhlina bukan menteri pendidikan Pas.

Mengulas lanjut, kata Maszlee,  penglibatan Datuk Hajah Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah Al Jundi  dalam acara mempromosikan syarikat arak di sebuah sekolah Cina di Sepang adalah insiden memalukan dan menjatuhkan imej  Amanah yang beliau wakili dan juga rakyat Parlimen Sepang yang telah memilih beliau. 

“Islam rahmah yang dibawa oleh parti Amanah tidak pernah sekali-kali bermaksud menghalalkan arak dalam acara sekolah. 

“Sewajarnya jika beliau mempunyai maruah dan integriti, beliau meletakkan jawatan secara sukarela sebagai ahli parlimen secara terhormat dan juga meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita Amanah.

“Ia akan menjadi pengajaran kepada ahli parlimen Amanah yang lain agar lebih teliti, berhati-hati dan menjunjung prinsip Rahmah yang sebenar,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN