Pantai Sungai Kajang jangka dibuka semula masa terdekat - Utusan Malaysia

Pantai Sungai Kajang jangka dibuka semula masa terdekat

Pantai Sungai Kajang
ZULKAFPERI Hanapi (tengah) menunjukkan surat rasmi kepada JPNS ketika meninjau Pantai Sungai Kajang, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Selangor. - UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Pantai Sungai Kajang, Tanjong Karang yang disita sejak 10 Januari lalu dijangka akan dibuka semula kepada orang awam dalam tempoh terdekat selepas langkah jangka pendek penarikan notis sitaan dibuat untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi berkata, persetujuan itu dimaklumkan menerusi pertemuan beliau dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid pada Rabu lalu.

“Pertemuan khas itu membincangkan pelbagai isu mengenai Pantai Sungai Kajang termasuk melibatkan penyelesaian jangka panjang.

“Saya sudah membuat surat rasmi untuk diserahkan kepada JPNS esok dan pantai itu akan dibuka secepat mungkin,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pantai itu, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan tindakan sita itu mengelirukan banyak pihak terutama penduduk kerana kawasan berkenaan bukan bagi kegunaan peribadi namun lokasi awam.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd. Raiz Radzuan memaklumkan sitaan itu dilakukan berikutan wujud pencerobohan hutan paya bakau termasuk kemusnahan pokok bakau bagi membina struktur kekal dan sementara.

Pengunjung pantai itu perlu memohon permit kebenaran aktiviti rekreasi atau beriadah kerana kawasan berkenaan didakwa sebahagian hutan simpan paya bakau yang dilindungi pemeliharaan dan pemuliharaannya.

Jelas Zulkafperi, sitaan pantai itu memberi kesan terutama kepada lebih 20 peniaga kecil di kawasan berkenaan yang terjejas pendapatan, bagaimanapun menghargai keprihatinan JPNS dan berharap penyelesaian sepenuhnya dapat dilakukan.

“Pantai Sungai Kajang merupakan satu-satunya kawasan pantai terbuka kepada pengunjung untuk beriadah di Tanjong Karang. Sitaan itu menimbulkan rungutan orang ramai termasuk peniaga makanan dan minuman yang mencari rezeki sejak sekian lama.

“Saya turut merangka pelan bagi membangunkan kawasan itu sebagai produk pelancongan Selangor yang berpotensi untuk maju seperti pantai lain,” katanya.

Tinjauan di Pantai Sungai Kajang mendapati puluhan orang ramai masih mengunjungi kawasan itu untuk bergambar dan rehat bersama keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.