Op Selamat 19: Kes kemalangan meningkat 41 peratus 

Op Selamat 19: Kes kemalangan meningkat 41 peratus 

RAZARUDIN Hussain (tiga dari kiri) bergambar dengan penerima Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik ketika Majlis Penutup Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah kemalangan Op Selamat 19 sempena perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini meningkat sebanyak 41 peratus melibatkan 15,999 kes berbanding 11,325 kes, tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, kemalangan meningkat sebanyak 4,674 kes manakala sebanyak 121 kemalangan maut direkodkan dalam tempoh sama. 

Beliau berkata, sebanyak 134 kes kematian dicatatkan melibatkan pertambahan 15 kes berbanding tahun lalu, 119 kes.

“Penunggang dan pembonceng motosikal kekal angka korban tertinggi iaitu 81 kematian sepanjang Op Selamat 19.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan maut melibatkan 30 lokasi panas di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) selain 234 ‘blackspot’ dikenal pasti di jalan raya, seluruh negara,” katanya ketika Majlis Penutup Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina 2023 di sini, hari ini.

Dalam majlis tersebut, Kontinjen Kuala Lumpur diumumkan sebagai sebagai Anugerah Kontinjen Terbaik manakala Daerah Terbaik ialah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bharu Selatan.

Justeru, Razarudin berkata, tindakan di titik hitam baharu akan dikenal pasti bagi penambahbaikan daripada sudut infrastruktur dengan melibatkan kerjasama daripada agensi berkaitan. 

Menurut beliau, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 160,375 saman dikeluarkan di seluruh negara. 

“Jumlah ini menurun berbanding tahun lalu iaitu 308,726 saman. Saman yang dikeluarkan adalah bersifat mendidik dengan memberi fokus enam kesalahan utama,” katanya.

Sementara itu, Razarudin berkata, kes pecah rumah menurun 9.6 peratus iaitu 296 kes berbanding 326 kes pada tahun lalu. 

Ujar beliau, sebanyak 68,519 rondaan dijalankan ke atas rumah dan premis yang ditinggalkan. 

“Apa yang jelas, kesedaran yang tinggi dalam kalangan ahli masyarakat tentang pentingnya menjaga keselamatan harta benda merupakan salah satu faktor penurunan kes jenayah pecah rumah. 

‘Ia juga adalah hasil penguatkuasaan melalui program-program pencegahan jenayah, kempen-kempen secara berkala serta operasi-operasi yang dijalankan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya