OKU lumpuh mampu 'berdiri', usahakan kedai gunting rambut

OKU lumpuh mampu ‘berdiri’, usahakan kedai gunting rambut

MOHAMAD Arif Ahmad menggunakan kerusi roda hidraulik ketika menggunting rambut pelanggan di kedainya di Taman Gembira, Bukit Batu, Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seorang lelaki yang lumpuh dari paras pinggang ke kaki bangkit daripada fasa kemurungan dan kini mampu menjalankan perniagaan dengan mengusahakan kedai gunting rambut.

Mohamad Arif Ahmad, 23, yang juga atlet para negeri ini enggan menjadikan kecacatan yang dialami akibat kemalangan jalan raya dengan sebuah kereta di Kampung Sepakat Jaya, Senai sewaktu bekerja sebagai penghantar makanan pada 2017, menjadi penghalang mengejar impian mempunyai perniagaan sendiri.

Berkongsi detik hitam yang mengubah hidupnya, anak bongsu daripada enam beradik itu mengakui dia mengalami kemurungan akibat kesan kemalangan berkenaan setelah berasakan dunianya menjadi gelap dan bagaikan tiada masa depan yang baru tamat persekolahan.

“Selepas beberapa kali menjalani sesi pemulihan, doktor memberitahu ibu bahawa kecederaan tulang belakang dan terhimpit dengan saraf tunjang hingga menyebabkan tidak lagi mampu berjalan seperti dahulu.

“Pada masa itu, saya kemurungan dan tak tahu apa yang mahu dilakukan. Berkat sokongan keluarga, saya mula menerima keadaan yang bukan lagi seperti insan normal. Apabila berjumpa dengan rakan senasib lain, kata-kata semangat mereka menjadi pemangkin bagi saya memulakan hidup baharu di bangku kerusi roda,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Muhammad Arif menyatakan hasrat kepada rakannya untuk menjalankan perniagaan kedai gunting rambut kerana mempunyai kemahiran itu sejak zaman persekolahan dan membeli sebuah kerusi roda jenis hidraulik yang membolehkannya berdiri bagi menggunting rambut pelanggan.

“Saya membeli kerusi roda hidraulik ini secara dalam talian berharga RM20,000. Ia sangat membantu dan menyokong saya untuk berada pada posisi tegak (berdiri) ketika menggunting rambut pelanggan.

“Walaupun adanya kerusi roda hidraulik ini, saya tak boleh dalam posisi berdiri lama-lama kerana lutut bergetar. Saya perlu berehat kira-kira 10 minit setiap tiga jam sebelum kembali bekerja. Sedar tak sedar hampir setahun kami sudah beroperasi,” katanya yang mengusahakan kedai gunting rambut bersama dua rakan kongsinya di Taman Gembira, Bukit Batu, di sini.

Muhammad Arif yang pernah mewakili Johor Sukan Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Wilayah Persekutuan tahun lalu, berazam mengembangkan perniagaan mereka.

Pemenang dua pingat gangsa acara ping pong individu dan beregu Para Sukma 2022 itu mahu menjadi usahawan yang berjaya dan membahagiakan ibu bapanya.

“Status orang kurang upaya (OKU) tidak seharusnya menjadi penghalang bagi individu melakarkan kejayaan dan mengejar cita-cita mereka. Ramai usahawan OKU di luar sana yang turut bermotivasi tinggi, itu boleh dijadikan contoh. Ibu juga gembira lihat saya ceria seperti dahulu dan tidak lagi risau apabila saya berada di luar tanpanya di sisi,” katanya.

Kedai gunting rambut yang diusahakan anak muda ini dibuka setiap hari kecuali Isnin dan turut memberikan perkhidmatan menggunting rambut secara percuma kepada (OKU). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya