Mohd. Na’im bincang isu kuota haji engan menteri Arab Saudi

Mohd. Na’im bincang isu kuota haji dengan menteri Arab Saudi

MOHD. Na'im Mokhtar ketika sesi pertemuan dengan Tawfiq Fawzan Al-Rabiah di Jeddah, Arab Saudi. - FOTO IHSAN TABUNG HAJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Arab Saudi sudah dimaklumkan mengenai hasrat Malaysia berhubung pengembalian semula kuota rasmi jemaah haji Malaysia untuk musim ibadah kali ini.

Perkara itu disuarakan sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar pada sela satu persidangan di Jeddah, Arab Saudi hari ini.

Menurut hantaran Lembaga Tabung Haji menerusi laman sosial rasmi, beliau telah pun bertemu Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah bersama pengurusan Tabung Haji yang kini dalam lawatan kerja ke negara itu bagi membincangkan isu urusan ibadat haji musim 1444 Hijrah.

Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang bermula pada hari ini sehingga 15 Januari nanti turut dihadiri ramai delegasi asing untuk ‘melobi’ kuota haji baharu musim ini susulan tindakan Arab Saudi tahun lalu mengehadkan kuota semua negara luar kepada hanya 45 peratus daripada jumlah sebelum itu susulan kebimbangan penularan Covid-19.

Langkah tegas itu menyaksikan cuma sejuta jemaah berbanding sebelum pandemik yang merekodkan lebih 2.5 juta orang dengan larangan untuk individu berusia 65 tahun ke atas.

Malaysia tahun lepas memperoleh kuota 14,306 jemaah daripada asalnya 31,600 orang yang ditetapkan tiga tahun lalu sebelum pintu sempadan Arab Saudi ditutup pada awal 2020.

Justeru, mereka yang giliran tahun sepatutnya pada 2020, 2021 dan 2022 lalu akan diberikan keutamaan untuk memenuhi kuota berikutnya bagi menunaikan ibadah haji musim ini.

“Demi memastikan pengurusan haji Malaysia kekal terbaik, rombongan ini turut memohon agar segala kos yang melibatkan urusan haji akan dapat dimaklum lebih awal,” tambahnya.

Selain itu, beliau juga membincangkan program Makkah Route yang menjadikan Malaysia sebagai negara perintis sejak 2017 lalu supaya dapat diteruskan lagi untuk musim kali ini.

Inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Arab Saudi di KLIA itu memberi banyak keselesaan kepada jemaah apabila tidak perlu lagi melalui saringan imigresen sejurus tiba di tanah suci.

Malaysia ujar Tabung Haji, turut merakamkan penghargaan kepada pihak Arab Saudi atas layanan dan fasiliti terbaik yang disediakan untuk jemaah haji negara sepanjang musim lalu.

Tawfiq dalam reaksi balas turut memuji Tabung Haji atas pengendalian urusan haji amat cemerlang, sistematik dan tahap layanan jemaah yang patut dicontohi oleh negara-negara lain.

Beliau namun belum lagi memberi sebarang maklum balas tetapi berdoa agar perbincangan dan lawatan Mohd. Na’im itu dipermudahkan Allah demi kesejahteraan jemaah Malaysia.

Ketika ini, pendeposit Tabung Haji yang mendaftarkan ibadah fardu tersebut menerima giliran untuk tempoh 115 tahun akan datang susulan kekangan kuota ditetap oleh Arab Saudi.

Situasi itu menyebabkan ada bakal jemaah yang terdesak kerana faktor usia tua, sanggup memohon visa haji furada dengan ada menjadi mangsa penipuan oleh pihak agensi tertentu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya