Memotong di laluan berkembar, polis Bentong sedang kesan pemandu pacuan empat roda - Utusan Malaysia

Memotong di laluan berkembar, polis Bentong sedang kesan pemandu pacuan empat roda

TANGKAP layar memaparkan kenderaan pacuan empat roda (kiri) sedang memotong di laluan berkembar yang tular dalam media sosial di Jalan Lama Bentong - Kuala Lumpur di Bentong, Pahang. - FOTO/IHSAN FACEBOOK KAMI PENDUDUK BENTONG (OFFICIAL)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Polis daerah ini sedang mengesan pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai memotong garisan berkembar di Jalan Lama Bentong – Kuala Lumpur di sini.

Kejadian semalam itu menjadi tular apabila seorang lelaki memuatnaik video di akaun laman sosial Facebook milik Kami Penduduk Bentong (Official).

Menerusi video berkenaan, pemandu kereta di hadapan yang dipercayai bersama keluarganya begitu marah dengan kecuaian pemandu pacuan empat roda itu kerana memotong di laluan berkembar serta nyaris melanggar kenderaan mereka.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) di sini sedang menjalankan siasatan untuk mengesan pemilik kenderaan pacuan empat roda tersebut.

“Kita akan memanggil pemandu berkenaan untuk memberikan keterangan tentang kejadian seperti yang tular di laman sosial tersebut.

“Semakan awal juga mendapati kenderaan pacuan empat roda tersebut mempunyai empat kesalahan trafik lampau antaranya memandu laju,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaiham, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara dalam tempoh lima tahun dan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM15,000.

“Polis memohon kerjasama pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut hadir ke BSPT, Ibu Pejabat Polis Daerah ini untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Tambahnya, pengguna jalan raya diminta memberikan kerjasama jika melihat mana-mana kejadian yang melanggar undang-undang jalan raya dengan tampil memberikan maklumat kepada polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya