MAVA, KPM putuskan nasib Cikgu Hadee

MAVA, KPM putuskan nasib Cikgu Hadee

VP. Shanmugam berbual mesra dengan jurulatih, ibu bapa dua pemain selepas mesyuarat khas di MSNM, Krubong, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keputusan untuk menggantung atau tidak jurulatih skuad bola tampar wanita bawah 14 tahun Melaka, Saiful Hadee Amar yang menampar dua pemainnya hanya akan diputuskan Persatuan Bola Sepak Tampar Malaysia (MAVA) dan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka, VP. Shanmugam berkata, kerajaan negeri tidak boleh campur tangan dan menyerahkan keputusan tersebut kepada MAVA dan KPM untuk menyiasat dengan terperinci klip video tular berkaitan insiden tersebut pada 16 Disember lalu.

Menurutnya, walaupun jurulatih terbabit telah memohon maaf kepada kedua-dua ibu bapa pelajar terbabit, namun insiden yang terjadi ketika Kejohanan Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor itu dianggap serius sehingga menjadi isu kebangsaan.

“Kedudukan jurulatih berusia 44 tahun itu terbahagi kepada tiga perkara iaitu siasatan oleh kerajaan negeri, siasatan oleh KPM kerana dia masih berkhidmat di KPM, unit integriti mereka akan membuat siasatan lanjut.

“MAVA sepatutnya mengambil sepenuhnya kes ini memandangkan penularan video tersebut menjadi perhatian semua pihak di peringkat kebangsaan.

“Justeru sebarang tindakan atau hukuman yang akan diambil kini bergantung kepada siasatan daripada MAVA dan KPM untuk membuat keputusan setimpal,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan insiden tersebut di Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) di Krubong di sini, petang tadi.

Tambah Shanmugam, hasil mesyuarat khas berkenaan mengesyorkan jurulatih itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umum serta ibu bapa dan sijil kejurulatihannya perlu digantung untuk tempoh setahun atau dua tahun.

Beliau turut meminta, semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia menjejaskan kedua-dua pemain yang kini sedang membuat persiapan menghadapi satu lagi kejohanan.

“Ibu bapa kedua-dua pemain terbabit telah memaafkan jurulatih itu, namun penularan video tersebut telah menyinggung perasaan mereka serta meminta semua pihak menghentikannya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya