‘Masalahnya tidak ikut akta’

‘Masalahnya tidak ikut akta’

Tun Abdul Hamid Mohamad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 tidak perlu dikaji semula dan dipinda kerana undang-undang itu sudah cukup memberi jaminan bahawa pelantikan badan kehakiman termasuk Ketua Hakim Negara bebas daripada pengaruh politik dan kuasa eksekutif.

Meskipun lima daripada sembilan anggota JAC dilantik Perdana Menteri, beliau terlebih dahulu hendaklah berunding dengan Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguam Bela Sarawak, Peguam Negara Persekutuan, Peguam Besar perkhidmatan perundangan negeri atau mana-mana badan berkaitan.

Malah semua individu tersebut setakat ini terdiri daripada kumpulan profesion undang-undang iaitu dua orang bekas hakim, seorang bekas peguam besar dan seorang ahli akademik bagi menganggotai JAC yang diwujudkan untuk memastikan proses lantikan hakim lebih telus dan adil.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamed berkata, Akta JAC sebenarnya selama ini tidak mempunyai sebarang isu, sebaliknya yang bermasalah adalah untuk bagi memastikan agar tindak-tanduknya mengikut seperti yang digariskan dalam undang-undang tersebut.

Beliau justeru itu berpandangan akta itu tidak perlu dikaji semula dan perlu dikekalkan.

“Ya (perlu dikekalkan). Bukan masalah akta, masalahnya tak ikut akta,” katanya yang meminta merujuk kepada tulisannya pada 5 Oktober 2022 bertajuk ‘Politik Dalam Pelantikan Hakim-Hakim di Malaysia’.

Dalam artikel itu, Abdul Hamid yang merupakan Ketua Hakim Negara Ke-11 menyentuh rentetan pelantikan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Kelmarin, Majlis Peguam berpendapat sudah tiba masa­nya Akta JAC 2009 yang memberi kuasa kepada Perdana Menteri melantik hakim dan ah­li suruhanjaya dikaji semula bagi memastikan urus tadbir­nya bebas daripada pengaruh politik dan kuasa eksekutif.

Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn memberitahu, terdapat kebimba­ngan apabila keanggotaan dalam su­ruhanjaya itu tidak seimbang dan dikhuatiri membawa kepentingan pihak tertentu jika Perdana Menteri terus diberi kuasa me­lantik mengikut budi bicaranya.

Pada masa ini JAC mempunyai sembilan anggota, empat ahlinya adalah hakim yang sedang memegang jawatan paling kanan manakala bakinya lagi ahli dilantik Perdana Menteri.

Pada 30 November 2022, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir pernah menggesa supaya pelantikan lima ahli JAC tidak dilakukan oleh Perdana Menteri, sebaliknya diberikan kepada Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri berpandangan, raja-raja Melayu perlu dilibatkan sama dalam pelantikan anggota JAC bagi memastikan keahliannya bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Bagi mengelakkan isu polemik dan campur tangan Majlis Peguam dalam keanggotaan JAC, pelantikan ini perlu dibawa ke Majlis Raja-Raja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN