Mariana derita kanser urus suami hidap angin ahmar

Mariana derita kanser urus suami hidap angin ahmar, dua adik OKU

MARIANA Akib bersama keluarganya yang hidup serba kekurangan di perkampungan nelayan Jalan Kampung Tengah, Kuala Kedah. – UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH: Kemiskinan bukan satu-satunya ujian yang perlu dilalui Mariana Akib, 45, dari perkampungan nelayan di Kampung Tengah di sini kerana sejak dua tahun lalu, wanita ini juga bertarung dengan kanser payu dara.
Mariana yang terpaksa menjalani pembedahan membuang salah satu payu daranya pada September tahun lepas itu juga ibarat tulang belakang keluarga memandangkan suami, Jefri Ayob, 54, diserang strok sejak empat tahun lalu.

Lebih mengharukan menurut Mariana, dia menjaga bapanya, Akib Mat, 77, yang uzur serta dua adiknya, Amar Efendie, 37, dan Faizul, 31, yang juga orang kurang upaya (OKU).

“Suami dahulu nelayan tetapi sejak kena strok, dia lumpuh anggota bahagian sebelah kanan jadi kami hilang mata penca­rian. Sekarang dia baru nak boleh jalan. Saya buat kuih-muih untuk jual, dapatlah RM10, RM20 sehari.

“Kedua-dua adik saya cacat terutama Amar Efendie yang terlantar sejak kecil. Kami tinggal di rumah pusaka bapa ini seramai sembilan orang termasuk anak-anak saya seramai tiga orang berusia 12 hingga 25 tahun. Hidup ala kadar sajalah,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Mariana, dia baru selesai menjalani enam sesi kemoterapi di Hospital Lama Alor Setar dan perlu meneruskan rawatan radiografi di Hospital Pulau Pinang bulan depan.

“Rawatan kemoterapi sebelum ini mengakibatkan saya jadi lemah dan badan kurus tetapi saya kena kuat teruskan juga demi keluarga saya. Lepas ini kena buat radiografi pula. Ini juga memeningkan saya kerana masalah pengangkutan.

“Pulau Pinang jauh, kami tak ada kereta. Sebelum ini saya pergi hospital naik motosikal dengan anak sulung. Rasa macam tak mahu buat tetapi terpaksa juga kerana saya harus bertarung sampai bebas daripada kanser ini,” katanya.

Tambah Mariana, dia bernasib baik kerana anak sulungnya yang sudah berkahwin turut menetap di situ dan membantunya menguruskan kerja-kerja rumah dan bapa saudara yang terlantar.

“Amar memang terlantar saja. Makan, minum dan mandi kami kena uruskan termasuk pakaikan lampin. Dia lumpuh sejak kecil lagi selepas terkena demam kuning. Memang tak boleh duduk, terbaring sahaja.

“Alhamdulillah Amar dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM500 sebulan tetapi setiap bulan kena usung dia ke bank untuk keluarkan duit sebab kena pakai cap jari dia. Memang susah sebab kena upah orang bawa kami ke bank. Saya cuma berharap dipermudah urusan dia sebab susah nak usung dia ke sana sini,” katanya.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya