Lelaki jual ketum di kedai makan ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki jual ketum di kedai makan ditahan

ANTARA air ketum yang siap diproses dan sedia untuk dijual yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah kedai makanan di Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BALIK PULAU: Seorang lelaki berusia 43 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran air ketum ditahan di kedai makanan di Bayan Lepas, di sini semalam.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, polis turut merampas 37.5 liter air ketum siap diproses dalam serbuan berkenaan.

”Polis telah membuat intipan dan risikan sejak seminggu lalu sebelum menyerbu premis dan menahan suspek lelaki tersebut.

“Serbuan ini dijalankan menerusi Op Tapis selepas polis mendapati terdapat kegiatan pengedaran dan penjualan air ketum di kedai makan tersebut sejak beberapa minggu lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, semasa serbuan dijalankan suspek sedang menjual air ketum di premis tersebut.

“Pihak polis merampas sebuah tong yang di dalamnya terdapat enam bungkusan plastik hitam.

“Di dalam setiap plastik itu terdapat 25 bungkusan plastik air ketum yang mana keseluruhan air ketum dirampas ialah 150 bungkus dengan anggaran 37.5 liter bernilai lebih RM1,000,” katanya.

Kenyataan itu berkata, suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Dalam perkembangan lain, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan memaklumkan, polis turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dan seorang wanita berumur 41 tahun kerana disyaki menjadi ‘keldai akaun’.

”Mereka disyaki menjadi keldai akaun oleh sindiket dalam urusan tawaran pinjaman wang yang tidak wujud dan penyamaran sebagai pegawai polis serta pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) melalui dalam talian bagi sindiket Macau Scam,” katanya.

Kenyataan itu berkata, suspek lelaki itu ditahan di Kelantan manakala seorang lagi suspek wanita ditangkap di negeri ini.

“Siasatan awal mendapati suspek-suspek terlibat dalam kes penipuan yang dilaporkan pada 2021 dan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah RM1,400 sehingga RM20,950.

”Kedua-dua suspek yang ditahan kelmarin kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya