Lawan sengaja lempar tuduhan terhadap Pas, PN

Lawan sengaja lempar tuduhan terhadap Pas, PN

AHMAD Yahaya (dua kiri) menerima sumbangan dana pilihan raya daripada Ahli-ahli Parlimen Pas Kedah yang disampaikan melalui Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tuduhan dilempar pelbagai pihak terhadap Pas kebelakangan ini dilihat sengaja dicipta lawan bagi memastikan parti itu dan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi dilihat sebagai sebuah gabungan yang bersih. 

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, tindakan itu terpaksa dibuat lawan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi setelah Pas dan PN menjadi pilihan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, antara tuduhan yang dilemparkan terhadap Pas termasuklah kononnya parti itu menerima dana daripada syarikat judi serta tauke-tauke besar hingga membolehkan mereka berbelanja mewah dalam PRU15.

“Malah Pas dikatakan menyogok pengundi hingga jumlah diperolehi parti ini tinggi. Kita pun tak tahu daripada mana mereka dapat angka itu tetapi yang pasti semua itu hanyalah fitnah dilempar terhadap Pas.

“Kita melihat bagaimana musuh politik sedaya upaya mencari perkara yang boleh melemahkan Pas kerana dalam PRU lalu, pengundi sudah membuat penilaian mengenai latar belakang Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). 

“Kedua-dua gabungan itu memiliki pelbagai beban hingga akhirnya rakyat melihat hanya PN saja yang bersih, berintegriti dan menawarkan tawaran hebat, prihatin serta stabil,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Dana PRN Pas Kedah, malam tadi. 

Menerusi pengumuman dibuat, makan malam itu berjaya mengutip hampir RM500,000 termasuk daripada pihak-pihak yang menyatakan komitmen, namun tidak dapat hadir ke majlis tersebut. 

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, beliau berharap majlis tersebut dihebahkan termasuk di media-media sosial sebagai salah satu cara untuk menjawab segala tuduhan dan fitnah yang berlegar terhadap Pas terutamanya berkaitan dana diterima. 

“Kita buat secara terbuka sedangkan sebelum ini, sudah berapa banyak kutipan dana dibuat secara sembunyi-sembunyi? Hakikatnya di rumah-rumah terdapat tabung buluh, tin, pelbagai jenis bekas disediakan semata-mata untuk menyumbang kepada parti dan terbukti sumbangan itu menyebabkan Pas boleh berbelanja sewaktu PRU lalu. 

“Saya anjurkan untuk kita hebahkan majlis ini. Biar kita sebut malam ini ada yang mewakafkan tanah, ada sumbangan daripada Yayasan Amal Kedah, wakil rakyat dan Dewan Pemuda untuk memberi galakan kepada penyokong agar turut serta memberi sumbangan,” katanya.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.