Kutip 10 tan sampah di Pantai Baharu Morib - Utusan Malaysia

Kutip 10 tan sampah di Pantai Baharu Morib

Kutip sampah
AHMAD Rizal Mohd. Daud (empat, kanan) dan Amirul Azizan (tiga, kanan) melihat demonstrasi penggunaan mesin kutipan sampah ‘Walk Beach Comber' pada Majlis Pelancaran Jentera Pembersihan Pantai itu dan 'Glutton Elektric Little Picker' serta Penyerahan Tong Sampah dekat  Pantai Baharu Morib di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Sasaran 10 tan sampah ditetapkan syarikat Pengurusan Sisa Pepejal Pintar, KDEB Waste Management (KDEBWM) dalam masa sebulan untuk memastikan kebersihan pusat peranginan Pantai Baharu Morib.

Tahap kebersihan dapat di tempat tumpuan pengunjung itu disasarkan demikian selepas dua buah mesin khas bernilai RM160,000 diletakkan di sana sebagai kaedah inovatif untuk mengutip sampah di atas kawasan seluas 4,400 meter persegi secara berterusan dan efektif.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEB Waste Management, Ahmad Rizal Mohd. Daud berkata, kaedah itu diperkenalkan selepas kutipan secara manual memakan masa untuk memastikan kebersihan kawasan pantai tersebut.

“Ini merupakan projek perintis pertama pembersihan pantai pihak KDEBWM dengan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan kita dilantik untuk melakukan kutipan di pantai ini sejak dua bulan lalu. 

“Dengan dua mesin ini kita boleh menjimatkan tenaga buruh daripada tujuh kepada seorang sahaja. Kita berharap dengan adanya dua mesin kutipan sampah bernilai RM160,000 yang kita serahkan hari ini kutipan akan dapat dilakukan dengan lebih efisien dan produktif,” katanya ditemui pemberita hari ini.

Beliau menambah, sebagai sebuah syarikat pengurusan perkhidmatan sisa pepejal pintar, KDEBWM  sentiasa meneroka peluang dalam bidang kemampanan, digital dan teknologi terkini bagi menambah baik operasi syarikat.

Sementara itu Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim memaklumkan kebersihan Pantai Baharu Morib dapat dipastikan dengan kaedah kutipan sampah yang lebih sistematik bagi menjamin keselesaan pelancong.

“Penggunaan ‘Glutton Electric Little Picker’ misalnya adalah jentera mengutip sampah elektrik sifar pelepasan karbon selari dengan usaha syarikat memacu penggunaan teknologi hijau dalam masa sama mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),”katanya.

Dalam program tersebut, pihak KDEBWM turut menyerahkan sebanyak 47,495 unit tong sampah 120 liter secara berperingkat dalam usaha mengekalkan kebersihan kawasan Daerah Kuala Langat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya