KTMB beri diskaun 25 peratus bermula hari ini sehingga 31 Dis.

KTMB beri diskaun 25 peratus bermula hari ini sehingga 31 Disember

MOHD. Rani Hisham Samsudin (enam dari kanan) bersama penumpang setia ETS ketika majlis pelancaran Kempen Travel Sama-Sama di KL Sentral, hari ini. Turut serta, Ketua Perkhidmatan Antarabandar, Nurul Azha Mokmin (dua dari kiri) - FOTO/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini mengumumkan tawaran menarik kepada rakyat Malaysia dengan memberikan diskaun secara berkumpulan sebanyak 25 peratus bagi pembelian bermula 27 Januari sehingga 31 Disember 2023 ini.

Tawaran menarik itu diumumkan melalui Kempen Travel Sama-Sama dan diskaun akan melibatkan semua perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan Perkhidmatan Ekspres Intercity.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, KTMB sentiasa cakna dengan maklum balas rakyat Malaysia yang memilih perkhidmatan kereta api yang berkualiti, selesa dan berpatutan, terutamanya mereka yang berkeluarga untuk pergi bercuti atau pulang ke kampung.

“Kami di KTMB sentiasa mendengar maklum balas pelanggan yang mahukan servis berkualiti, selesa dan berpatutan. Oleh itu, kempen ini merupakan salah satu tawaran KTMB untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat Malaysia.

“Kempen ini juga sebagai tanda penghargaan KTMB kepada penumpang-penumpang ETS dan Perkhidmatan Ekspres Intercity berikutan diskaun Keluarga Malaysia yang telah mendapat sambutan menggalakkan sepanjang tahun 2022,” katanya dalam majlis pelancaran Kempen Travel Sama-Sama di KL Sentral, di sini hari ini.

Katanya, pemberian diskaun itu hanya tertakluk kepada warganegara Malaysia dengan pembelian minimum empat (4) tiket dewasa atau kanak-kanak dalam satu transaksi sama dengan memasukkan kod promo yang akan diumumkan.

“Kempen ini juga khas untuk perjalanan yang menggunakan perkhidmatan tren ETS untuk semua kelas, perkhidmatan tren Ekspres Rakyat Timuran dan Selatan. Kita juga melancarkan kempen ini, bagi menggalakkan orang ramai menaiki perkhidmatan tren, terutamanya tren ETS.

“Pada masa yang sama, Ia juga terpakai untuk pembelian tiket melalui laman sesawang rasmi KTMB dan aplikasi KTMB Mobile serta di kioksik tiket. Kelayakan lainnya tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, KTMB turut meraikan penumpang setia perkhidmatan ETS bagi tahun 2022, yang dipilih berdasarkan kekerapan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu dengan kerap sepanjang tahun lepas.

“Kriteria pemilihan penumpang bertuah ini adalah berdasarkan kekerapan menggunakan perkhidmatan ETS dengan mengumpul jumlah tertinggi bilangan trip, destinasi perjalanan, berdaftar dengan KITS dan membuat pembelian tiket dewasa.

“Program seperti ini kita akan terus kekalkan pada setiap tahun sebagai tanda penghargaan KTMB kepada pengguna setia ETS dan dapat menarik minat lagi orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan ini sebagai pengangkutan utama,” jelasnya.

Rani menambah, KTMB akan sentiasa peka dengan perkembangan semasa dalam mendepani landskap industri yang semakin dinamik dengan mengambil kira kepesatan digitalisasi, appetite dan expectation pengguna yang tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya