Kita alternatif, maka kita ada - Utusan Malaysia

Kita alternatif, maka kita ada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WAKTU mula bertemu lapangan muzik independen, kira-kira 15 tahun lalu, saya mahu cari kelainan.

Muzik yang ditawarkan radio dan televisyen arus perdana sudah membosankan, jadi saya cari alternatif dan bertemu muzik independen.

Ketika itu, menjadi berbeza itu cool. Saya mahu tampil unik dalam kalangan rakan-rakan.

Jadi saya sangat berbangga dengan selera muzik yang lain dari lain. Motivasi awalnya mungkin remeh dan mengada-ngada -mahu jadi cool- tapi semangat alternatif mengajar saya untuk selalu tampil berbeza.

Siapa sangka, ia jadi rahsia kejayaan saya sehingga dewasa.

ERGO SUM

Saya selalu buat benda yang orang lain tak buat. Waktu diberi tugasan menghasilkan seni khat pada semester pertama, kawan-kawan banyak yang pilih tema tradisional dan keagamaan.

Saya ambil kapur pastel, lukis torso Superman dengan tulisan khat di dadanya.

Ketika kawan-kawan baca buku bahasa karangan ahli akademik terkemuka, saya gilakan buku indie yang ditulis ZF Zamir.

Pelajar sastera baca cerpen Anwar Ridhwan tapi saya tenggelam dalam buku Ridhwan Saidi dan Fahmi Mustaffa.

Waktu diberi peluang bikin video ulasan di Utusan Malaysia dahulu, kawan-kawan cerita hal bola, tapi saya pilih untuk berborak hal muzik independen.

Semangat alternatif menjalar dalam darah saya sejak kali pertama dengar lagu Komplot, Statik dan Hujan. Dan saya mahu terus mengepam darah itu kerana ia telah bersebati dan menjadi bahagian besar dalam kewujudan saya. Aku alternatif, maka aku ada.

MANUSIA KAWANAN

Menjadi berbeza ada cabarannya tersendiri. Pertama, ia sukar popular.

Kalau anda mahu mudah popular, jangan jadi berbeza. Ikut saja telunjuk gembala bernama algoritma. Masuk dalam kawanan, ikut segala kerenah massa.

Tapi kalau anda mahu jadi tersendiri, rangkul erat semangat alternatif. Buat kelainan, jadi berbeza. Lawan algoritma dan massa, lompat keluar dari
kawanan.

Ini alasan kewujudan lapangan muzik independen -mahu jadi dan mahu tawarkan sesuatu yang berbeza. Ini juga semangat yang akan buat lapangan muzik independen terus relevan.

Tanpa semangat alternatif, muzik independen tidak ada makna.

JADI BAYANG-BAYANG

Orang buat malam tribute, kita pun nak buat malam tribute. Orang buat lagu putus cinta merengek, kita pun nak buat lagu putus cinta merengek. Ini lemah dan tidak alternatif.

Sikap suka tiru dan tunggang trend meredam kreativiti sendiri. Ia jalan mudah yang tidak mencabar. Apatah lagi mahu digelar alternatif atau indie, tidak cocok.

Tak salah tapi lemah. Sikap sebegini tidak subur dalam lapangan muzik independen yang wujud atas asas semangat alternatif.

Jika lapangan muzik independen diisi sikap suka meniru, tidak kreatif, gila tular dan lemah pendirian, lapangan ini akan roboh. Segala binaan yang diusahakan selama berpuluh tahun akan jatuh menyembah tanah kerana sikap penghuni yang mengabaikan asasnya sendiri.

Seseorang yang suka meniru dan tidak ada pendirian sendiri, tidak lebih dari sekadar bayang-bayang. Kewujudannya tidak nyata dan berubah-ubah.

YANG DIINGAT TETAP YANG UNIK

Sesuatu yang baharu dan berbeza akan mengambil masa untuk difahami. Tapi jika kita cekal buat sesuatu yang baharu, berbeza kemudian dipasang pula dengan kualiti, buah manisnya akan kita tuai nanti.

OAG bertahan sehingga 30 tahun dan sampai sekarang, orang masih bercakap tentang Radhi yang bercerita tentang kuatnya cinta sehingga terpancar ke “Marikh asthmara” dalam lagu PerMysuri.

Kugiran gila mana yang terfikir mahu sandingkan muzik indie rock dengan jazz di bumi Malaysia ini, tapi Hujan buat.

Sampai sekarang mereka jadi nama besar dalam industri. Anak-anak indie yang berfikiran alternatif tahu mereka selalu dipandang gila oleh kawan-kawan dan keluarga.

Tak ada siapa mahu wakilkan perasaan mereka dalam lagu kecuali Butterfingers melalui Maharani. Sampai sekarang orang minta mereka comeback.

Pada tahun baharu ini, kita pasanglah azam baharu. Kalau mahu lapangan muzik independen terus wujud dan mekar, kembalilah pada asas kewujudannya: semangat
alternatif.

Para pemuzik cari kelainan, para penganjur buat perbezaan. Muzik independen wujud sebagai alternatif kepada muzik arus perdana. Kalau sikap kita sama sahaja macam mereka yang dalam lapangan arus perdana, apa makna yang tinggal untuk muzik independen?

Raikan sejarah muzik alternatif negara dan sambunglah riwayatnya. Jangan jadi sombong tak mahu tilik sejarah, tetapi terus galak mahu tepek nama indie pada jenama sendiri. Aku gatekeeper, maka kau ada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya