KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Sepang mengarahkan seorang bekas pengasuh taska menjalani hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku salah menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak seorang pegawai perubatan yang ketika kejadian berusia setahun lapan bulan, tiga tahun lalu.
Hakim Dr. Azrol Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Fatin Nabila Azmi, 26, selepas wanita itu menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan bekas pengasuh itu berkelakuan baik dengan bon jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin selama dua tahun.
Nur Fatin turut diperintah melapor diri ke balai polis berhampiran rumahnya setiap awal bulan serta melaksanakan kerja kemasyarakatan selama 160 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah pada 30 November 2022.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan wang jaminan kepada RM10,000.
Tertuduh dihadapkan ke mahkamah pada 21 Jun 2021 atas dakwaan mendedahkan mangsa yang ketika kejadian berusia setahun lapan bulan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik tidur kanak-kanak sebuah taska beralamat di aras bawah, Blok C, Kediaman Kakitangan Hospital Serdang, Kajang kira-kira pukul 10.30 pagi pada 8 Jun 2021.
Dalam keputusan itu, Azrol berpendapat, tertuduh melengah-lengahkan masa mahkamah untuk melupuskan kes dengan segera kerana pengakuan bersalah tidak dibuat pada hari pertama dihadapkan ke mahkamah, sebaliknya dikemukakan pada prosiding perbicaraan.
“Tempoh masa yang diambil untuk mengemukakan pengakuan bersalah mencerminkan tahap penyesalan tertuduh.
“Saya mempertimbang bahawa masa mahkamah dilengah-lengahkan melalui sebilangan prosiding sebutan selepas tertuduh bertindak membuat representasi dan `plea bargaining’,” ujar beliau dalam penghakiman bertulis yang diperoleh pihak media daripada laman web mahkamah hari ini.
Azrol berpendapat, beliau perlu berhati-hati ketika mengendalikan kes melibatkan kanak-kanak lebih-lebih lagi laporan perubatan menunjukkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan psikologi yang serius akibat perbuatan tertuduh.
Beliau turut berpendirian, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan jenayah yang mana perilaku tersebut sukar dikesan kerana jika mangsa adalah bayi, mereka tidak dapat membuat aduan manakala kanak-kanak takut untuk melaporkan perbuatan itu.
“Mahkamah merupakan benteng terakhir yang menjadi harapan masyarakat bagi memastikan kepentingan kanak-kanak dipelihara dan keputusan yang disampaikan mencerminkan toleransi sifar terhadap penderaan kanak-kanak,” ujarnya.
Beliau turut berpendirian, kes itu merupakan contoh tipikal yang mana-mana kanak-kanak jatuh ke tangan individu dewasa kejam yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga dan melindungi mereka.
Pengadu kes adalah ibu mangsa yang ketika itu merupakan pegawai perubatan di Jabatan Eurologi hospital berkenaan. Ketika bertugas, anaknya diletakkan di pusat jagaan tersebut.
Pada hari kejadian, tertuduh menghubungi ibu mangsa dan memaklumkan terdapat luka pada pipi anaknya manakala bahagian bawah matanya bengkak. Pengasuh berkenaan bagaimanapun mendakwa tidak mengetahui puncanya dan hanya menyedari luka tersebut selepas terdengar mangsa menangis.
Hasil pemeriksaan terhadap rakaman video sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tertuduh melakukan keganasan secara fizikal terhadap kanak-kanak itu yang menyebabkannya mengalami kecederaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.-UTUSAN







