LIPIS: Sebanyak enam Kawasan Rehat dan Rawat ( R&R) akan dibina di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama ( LTU) oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) di Lipis-Merapoh dan Gua Musang, Kelantan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, di Lipis kawasan cadangan di Kampung Relong, Kechau, Merapoh dan beberapa tempat lagi.
Menurutnya, projek R&R di laluan tersebut akan dibina bagi kemudahan pengguna jalan raya sekaligus jaminan keselesaan serta kebersihan yang dijangka siap pada 2026.
Bagaimanapun kawasan hentian rehat sementara bakal diwujudkan di LTU dekat Kechau di sini sebagai langkah jangka pendek bagi menangani isu sampah-sarap yang sering berlaku di laluan terbabit.
“Saya telah berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan menyediakan tapak sementara di laluan LTU bagi kemudahan pengguna jalan raya berhenti rehat dan makan,” katanya.
Ahli Parlimen Lipis berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kementerian Sumber Manusia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Lipis di sini, hari ini.











