Kesesakan Jabatan Kecemasan: KKM teliti keperluan tambah tenaga kerja

Kesesakan Jabatan Kecemasan: KKM teliti keperluan tambah tenaga kerja

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan meneliti keperluan mendapatkan lebih ramai tenaga kerja dalam usaha menangani kesesakan di Jabatan Kecemasan di seluruh perkhidmatan kesihatan awam negara ini.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, tidak dinafikan peningkatan jumlah pesakit saban hari dan kekurangan yang pelbagai termasuk tenaga kerja dan fasiliti memangkinkan isu kesesakan itu.

“Keperluan untuk mendapatkan lebih ramai tenaga kerja termasuk doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan, pegawai farmasi, profession sains bersekutu dan kakitangan sokongan akan terus dilakukan.

“Kementerian akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan bagi mencari titik temu terbaik untuk menyelesaikan isu ini dalam jangka masa sederhana dan panjang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Zaliha berkata, isu kesesakan Jabatan Kecemasan perlu ditangani dengan menyeluruh, melalui penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang yang harus dirangka segera dengan semua pemegang taruh, demi kebaikan rakyat serta sektor kesihatan negara.

“Kementerian melalui Program Perubatan, Program Kesihatan Awam dan Program Penyelidikan dan Sokongan Teknikal di bawah Timbalan Ketua Pengarah masing-masing telah diminta menyemak serta menganalisis data di Hospital dan Klinik Kesihatan bagi melihat keberkesanan perlaksanaan inisiatif seperti pelanjutan waktu bekerja di fasiliti-fasiliti tertentu.

“Di samping itu, usaha memperkasa ‘Lean Healthcare System’ sedang dipertingkatkan, terutama di hospital yang berdepan masalah kesesakan di Jabatan Kecemasan. Bagi hospital yang mempunyai ruang, pelaksanaan short stay ward akan diperkenalkan. la telah pun dilaksanakan di beberapa buah hospital. Bagaimanapun, saya mencadangkan agar kriteria wad ini ditambah baik bagi mengelakkan pesakit menunggu lebih lama khususnya di Zon Kuning.

“Selain itu, sistem pengurusan katil pesakit akan terus diperkemas. Ini mustahak agar penggunaan katil di hospital-hospital dapat dikawalselia dan diurus dengan baik,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, kementerian akan terus melihat kepada model kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, kerajaan-kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta agar isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dapat ditangani dengan menyeluruh serta berkesan.

Katanya, penyumberluaran dan kerjasama dengan sektor swasta misalnya sudah banyak membantu semasa pandemik Covid-19 melanda.

“Model-model seperti ini akan dilihat secara lebih khusus termasuk kerjasama dengan Pengamal Perubatan Swasta. Semestinya inisiatif seperti ini memerlukan dana yang khusus.

“Digitalisasi sistem perkhidmatan kesihatan juga perlu dititikberatkan. Kementerian akan terus komited menaik taraf sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedia ada kepada sistem digital yang berpotensi membantu mengatasi masalah yang wujud.

“Banyak solusi dan intervensi digital dalam perkhidmatan kesihatan telah diperkenal di negara lain dan Malaysia harus mendokong aspirasi yang sama agar perkhidmatan kesihatan dapat berjalan dengan lebih efisien,” katanya.

Beliau menambah, pembangunan Kertas Putih Kesihatan tentunya merangkumi kesemua perkara itu dan dapat menjana perubahan makro dan mikro dalam mereformasikan sektor kesihatan negara.

“Banyak perkara yang telah kita pelajari semasa menghadapi pandemik COVID-19. Kementerian Kesihatan khususnya memahami bahawa bagi membina sebuah Sistem Kesihatan yang kukuh dan lestari, ia bukan usaha bersendirian. Kesihatan adalah milik semua lantas menuntut kebersamaan kita dalam usaha ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya