Kerajaan komited teruskan pelan pembangunan pertahanan

Kerajaan komited teruskan pelan pembangunan pertahanan

MOHAMAD Hasan (depan, dua dari kiri) diringi  Adlly Zahari (depan, dua dari kanan) bergambar bersama warga kerja Kementerian Pertahanan pada Majlis Amanat Menteri Pertahanan 2023 di Wisma Pertahanan. Kuala Lumpur. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan pelan pembangunan keupayaan dan kapasiti pertahanan bagi meningkatkan keupayaannya serta kesiagaan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohammad Hasan berkata, usaha itu diteruskan dalam tempoh 2021 sehingga 2030, iaitu merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK-13.

“Bagi tahun ini, kerajaan dijangka memperuntukkan sebanyak RM17.4 bilion kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan RM11.4 bilion bagi belanja mengurus dan sebanyak RM5.9 bilion bagi belanja pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Amanat Menteri Pertahanan 2023 di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan (MINDEF), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad berkata, sebanyak 281 perolehan merangkumi semua perkhidmatan ATM dengan unjuran nilai RM8 bilion telah dirancang bagi tahun ini.

“Ini termasuk perolehan Meriam 155 milimeter Self-Propelled Howitzer, Kenderaan Perisai APC untuk MALBATT 850 di Lubnan dan High Mobility Armoured Vehicle (HMAV) bagi Tentera Darat.

“Pada masa sama, ia termasuk penyelenggaraan aset ketenteraan sedia ada seperti pasang pulih KD Laksamana, KD Jerai dan KD Lekir untuk Tentera Laut Diraja Malaysia serta penyelenggaraan pesawat C130 dan pembekalan alat-alat ganti pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya.

MOHAMAD Hasan melambai tangan kepada warga kerja Kementerian Pertahanan secara maya selepas menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Menteri Pertahanan 2023 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. – UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH

Sementara itu, beliau turut menyatakan komitmen kementerian untuk meneruskan pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan (KPP).

“Ia adalah dokumen strategik pertahanan negara, bagi tempoh 2021 sehingga 2030. Ini termasuk memastikan penerbitan dokumen-dokumen susulan, iaitu Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara, Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan dan Pelan Pelaburan
Pertahanan Negara.

“Selain itu, pelaksanaan KPP ini akan disokong menerusi Pelan Strategik MINDEF 2021 sehingga 2025,” katanya.

Beliau turut menyentuh iltizam MINDEF untuk mengukuhkan kerjasama antarabangsa bagi menjamin keselamatan negara.

Katanya, 2022 adalah tahun yang mencabar bagi persekitaran keselamatan global.

“Konflik Russia dan Ukraine yang tercetus bermula penghujung Februari tahun 2022 telah mendatangkan kesan negatif bukan sahaja kepada benua Eropah, bahkan seluruh dunia.

“Di rantau ini pula, persaingan antara kuasa-kuasa besar telah menimbulkan ketegangan, terutama di perairan Laut China Selatan.

“Adalah penting untuk Malaysia untuk meneruskan hubungan baik dengan negara-negara rakan, selaras dengan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara, iaitu Perkongsian Berwibawa,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya