ALOR SETAR: Kerajaan negeri bertegas tidak membuat sebarang pertimbangan bagi membenarkan premis perjudian kembali beroperasi di negeri ini seperti dimahukan DAP, semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tiada keperluan untuk kerajaan negeri berbuat demikian memandangkan kegiatan perjudian membawa banyak keburukan kepada masyarakat.
Dalam masa sama, beliau menempelak Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong yang mengharapkan kerajaan negeri kembali mempertimbang keputusan tersebut atas alasan untuk mengekalkan keharmonian kaum dan mengawal masalah sosial.
“Pertamanya, suruh beliau buktikan yang judi boleh membentuk keharmonian kaum. Tak pernah selama ini judi dilihat dapat menjadi alat untuk membentuk keharmonian kaum.
“Kerajaan negeri bertegas dalam hal ini dan tak akan ada pertimbangan semula dalam hal itu. Ini bukan isu satu kaum sahaja kerana judi merosakkan semua kaum,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Keputusan menamatkan lesen operasi premis judi dan loteri di seluruh negeri Kedah bermula 1 Januari lalu dibuat kerajaan negeri dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November 2021.
Kelmarin, Swee Leong dan pimpinan DAP Kedah termasuk pengerusinya, Tan Kok Yew berharap kerajaan negeri mempertimbang semula keputusan menamatkan semua lesen perjudian dan loteri di Kedah.
Menurut Swee Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, keputusan menyekat lesen judi tidak akan menyelesaikan masalah maksiat dan sosial.
Kok Yew pula menyifatkan langkah itu tidak wajar kerana dasar kerajaan negeri diterajui Pas itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan pihak terlibat dalam sektor berkenaan, tetapi menggalakkan jenayah judi tanpa lesen.
Muhammad Sanusi berkata, keharmonian kaum tidak mungkin dapat dibentuk melalui perjudian sebaliknya boleh dibina melalui pelbagai kegiatan berfaedah termasuk integrasi di sekolah.
“Keharmonian itu juga boleh dibentuk menerusi aktiviti sukan, silang seni budaya dan bahasa pertuturan yang sama,” katanya. – UTUSAN










