PETALING JAYA: Pihak yang mempunyai locus standi berhubung status kedudukan empat ahli Parlimen yang keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh membawa keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat ke mahkamah untuk semakan semula.
Ia berhubung keputusan Datuk Johari Abdul bahawa empat ahli Parlimen berkenaan tidak perlu mengosongkan kerusi ketika ada yang mendakwa kesemua mereka telah melanggar peruntukan larangan ahli Parlimen bertukar parti di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat juga tidak boleh ‘lari’ daripada penelitian hakim.
Hal itu katanya, walaupun Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa penuh bagi Speaker Dewan Rakyat memutuskan jika seseorang ahli Parlimen telah melanggar Perkara 49A dan perlu mengosongkan kerusi atau sebaliknya.
“Walaupun Speaker sudah membuat keputusannya, dia masih tertakluk kepada keputusan mahkamah, dengan syarat, pempetisyen mesti mempunyai locus standi yang saya sebutkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Johari meminta persoalan berhubung status empat ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dirujuk kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee kerana beliau telah membalas notis yang dikemukakan Ahli Parlimen Beluran itu.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali turut dilaporkan mengesahkan bahawa beliau dan tiga ahli Parlimen lain tidak perlu mengosongkan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebelum ini, Bersatu Sabah menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memastikan empat wakil rakyat bertanding pada PRU15 di bawah logo GRS mengosongkan kerusi mereka bagi memastikan telah berlaku kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.
Empat wakil rakyat terlibat adalah Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar); Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Datuk Jonathan Yasin (Ranau) serta Datuk Matbali Musah (Sipitang).
Pada 10 Disember 2022, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor membuat kenyataan media yang menyatakan kesemua pemimpin parti Bersatu Sabah telah keluar daripada parti.
Menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan.
Sementara itu, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, mahkamah mempunyai kuasa mutlak mentakrifkan peruntukan larangan melompat parti dan mana-mana pihak boleh mencabarnya walaupun Yang Dipertua Dewan Rakyat memutuskan tidak perlu mengosongkan kerusi.
“Apapun keputusan speaker, mesti ada yang tidak puas hati termasuk GRS atau Bersatu. Memang speaker dewan akan membuat keputusannya, tetapi, dia harus menerima pakai apa fahaman mengenai maksud bertukar parti di dalam Perlembagaan.
“Kalau tiada takrifan, semata-mata Speaker membuat keputusan mengikut fahaman sendiri di Parlimen itu tidak boleh. Mesti bawa ke mahkamah kerana takrifan sendiri bukan muktamad atau sah di sisi undang-undang.
“Selain itu, tiada kewajiban untuk Speaker menjelaskan secara terperinci kepada awam sama ada kerusi perlu dikosongkan atau tidak, cuma, secara tamadunnya, dalam keadaan urus tadbir negara adalah wajarlah untuk memberitahu,” katanya. – UTUSAN










