PETALING JAYA: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) melalui Op Kontraban berjaya menahan 306 orang dengan nilai rampasan mencecah RM132.7 juta bagi sepanjang tahun lalu.
Operasi melalui Perisikan dan Siasatan Khas (PSK) dijalankan bagi membendung ketirisan barangan kawalan bersubsidi dengan rampasan terbanyak membabitkan barangan di bawah Akta Kastam 1967 dengan jumlah rampasan bernilai RM68 juta.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, selain itu, tindakan turut diambil di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar melalui Op Bersepadu Khazanah dengan rampasan bernilai RM2.85 juta dan Akta Bahan Letupan (RM7.57 juta).
“Turut diambil tindakan di bawah Akta Bekalan iaitu rampasan sebanyak RM40 juta, Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (RM1.5 juta) serta Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 1967 (RM25,000).
“Rampasan turut dilakukan di bawah Seksyen 379 atau 427 Kanun Keseksaan (Bitcoin) dengan rampasan bernilai RM1.581 juta), Akta Senjata 1960 (RM12,000), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (RM7.32 juta) serta Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Bahan Kosmetik 1984 dan Akta Racin 1952 dengan jumlah rampasan bernilai RM3.42 juta),” katanya dalam kenyataan hari iniZ
Menurut Noorsiah, bagi tempoh enam hari tahun ini, PSK telah melancarkan sebanyak sembilan serbuan dengan rampasan sebanyak RM27.4 juta.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya telah menahan 23 orang terdiri daripada 17 warga tempatan dan enam warga asing.
“PSK akan terus komited memacu langkah untuk melaksanakan operasi bersepadu melalui eleman berisan hadapan termasuk Pasukan Gerakan Am, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Lembaga Hasil Dalam Negeri.
“Usaha bersepadu agensi-agensi ini merupakan langkah proaktif bagi PDRM menyumbang secara lebih efektif dalam membendung penyelewengan minyak diesel bersubsidi, rokok serta minuman keras demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.- UTUSAN










